Modal insan pemacu produktiviti

A
A
A

SAMBUTAN Hari Pekerja setiap 1 Mei merupakan satu pengiktirafan buat insan bernama pekerja.

Tema pada tahun ini, Pekerja Amanah Aspirasi Negara, menyeru agar kita meningkatkan amanah dan kualiti bekerja bagi memenuhi aspirasi negara.

Usaha Malaysia mengejar status negara maju menjelang tahun 2020, memerlukan lonjakan produktiviti. Peningkatan produktiviti sesebuah organisasi dapat dinilai dengan adanya pekerja yang berkualiti dan berupaya meningkatkan tahap pengeluaran.

Pertumbuhan modal insan pula mampu dicapai dengan peningkatan pengetahuan dan kepakaran pekerja melalui proses pendidikan dan latihan, baik secara formal atau tidak formal.

Menurut Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, ekonomi Malaysia dijangka kekal dalam landasan pertumbuhan kukuh tahun ini meskipun berdepan persekitaran mencabar. Inflasi keseluruhan secara purata dijangka meningkat dengan sederhana pada 2019.

Berdasarkan Laporan Tahunan 2018 BNM, pertumbuhan ekonomi negara pada tahun 2019 akan disokong oleh pertumbuhan domestik, terutama permintaan daripada sektor swasta yang kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi Malaysia. Penggunaan swasta disasarkan berkembang 6.6 peratus manakala pelaburan swasta dijangka meningkat sebanyak 4.9 peratus.

Semua sektor ekonomi utama negara turut disasar mencatat perkembangan positif dengan sektor perkhidmatan. Ia dijangka meningkat 5.7 peratus dan perkilangan pula 4.8 peratus.

Kedua-dua sektor berkenaan juga kekal sebagai penyumbang terbesar ekonomi negara iaitu dalam lingkungan 79 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang dijangka terus berada pada landasan pertumbuhan kukuh dan berkembang sekitar 4.3 hingga 4.8 peratus pada tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Produktiviti buruh negara mencatatkan pertumbuhan 4.2 peratus bagi suku ketiga tahun ini, lebih tinggi daripada sasaran purata pertumbuhan tahunan sebanyak 3.7 peratus yang ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11).

Permintaan sektor swasta dijangka kekal menjadi pemacu utama pertumbuhan dalam keadaan rasionalisasi fiskal yang berterusan. Manakala pertumbuhan itu juga dijangka berlaku di sebalik sektor luaran yang perlahan seiring dengan permintaan global yang semakin sederhana.

Faktor lain yang menyokong pertumbuhan ekonomi tahun ini adalah dengan bermulanya operasi kemudahan pengeluaran baharu seperti Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID), sektor elektrik dan elektronik (E&E) dan pengembangan outlet runcit. Kemudahan baharu E&E seperti automotif, semikonduktor dan aeroangkasa bakal merangsang ekonomi negara ke arah yang lebih positif.

Begitu juga dengan penerusan projek kejuruteraan awam seperti projek Transit Aliran Massa (MRT) dan Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT), turut memacu pertumbuhan ekonomi.

Ia selaras dengan aspirasi RMK11 yang mengandungi enam teras strategik dan enam pemacu perubahan bagi menerajui peralihan ke arah mencapai negara maju dan inklusif.

Teras strategik ini bertujuan menangani cabaran dalam pembangunan sosial, ekonomi dan alam sekitar serta mempercepat pertumbuhan ekonomi bagi memenuhi keperluan rakyat. Salah satu teras berkenaan adalah meningkatkan pembangunan modal insan untuk negara maju.

Selain daripada enam teras strategik, pelbagai program dan inisiatif telah dilaksanakan bagi menambah baik penyampaian perkhidmatan awam melalui peluasan jangkauan perkhidmatan kepada rakyat.

Penekanan yang lebih diberi kepada usaha mentransformasikan sektor awam supaya lebih berpaksikan rakyat menerusi pendekatan keseluruhan kerajaan. Objektif penekanan ini adalah untuk menjadikan perkhidmatan awam mempunyai struktur yang padu dan dinamik, bakat yang cekap, sistem pengurusan projek yang berkesan dan pihak berkuasa tempatan yang cekap.

Sudah tentu pekerja yang amanah dan mematuhi arahan kerajaan memudahkan urusan pentadbiran. Perkhidmatan awam dianggap sebagai pemudah cara dan menyokong usaha untuk meningkatkan kecekapan dan pertumbuhan ekonomi yang dilonjakkan oleh sektor industri dan usahawan.

Dalam hal ini, perkhidmatan awam perlulah mengambil pendekatan yang kreatif dan inovatif bagi meningkatkan kualiti dan keberkesanan sistem penyampaian pada semua peringkat.

Justeru, pekerja yang amanah dan memiliki pengetahuan, kemahiran dan sikap yang bersesuaian berpotensi untuk berjaya dalam ekonomi global.

*Prof Madya Datuk Dr Ismail Sualman ialah Panel Perunding Membudayakan Produktiviti, Perbadanan Produktiviti Malaysia