Pearly-Thinaah terus cipta sensasi

Pearly dan Thinaah mengesahkan tiket ke separuh akhir Masters Malaysia 2023.
Pearly dan Thinaah mengesahkan tiket ke separuh akhir Masters Malaysia 2023.
A
A
A

BEREGU utama wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah mempamerkan kebangkitan sensasi apabila melakar kemenangan 13-21, 21-19, 21-16 ke atas gandingan Jepun, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota dalam aksi suku akhir Masters Malaysia 2023 di Axiata Arena, Bukit Jalil sebentar tadi.

Tampil selaku pilihan keenam kejohanan, Pearly-Thinaah yang mendapat sokongan padu daripada ribuan penyokong sendiri membuktikan betapa mereka layak menidakkan cabaran Fukushima-Hirota pada perlawanan yang berlangsung hampir dua jam itu.

Kejayaan Pearly-Thinaah yang kini menduduki ranking ke-11 dunia mara ke peringkat separuh akhir itu sekali gus mengulangi pencapaian mereka pada edisi tahun lalu.

Ketika itu, Pearly-Thinaah tewas 10-21, 19-21 kepada beregu handalan China, Chen Qingchen-Jia Yifan.

Pada Khamis, Pearly-Thinaah mencuri tumpuan apabila berjaya mencipta antara rekod rali terpanjang dunia dengan melakukan 211 pukulan ketika menentang satu lagi beregu Jepun, Rena Miyaura-Ayako Sakuramoto dalam masa tiga minit 35 saat.

Dalam aksi separuh akhir pada Sabtu, Pearly-Thinaah dijadualkan menentang gandingan Korea Selatan, Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong yang menang 21-15, 18-21, 21-16 ke atas gandingan Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Inaramadhanti.