Terpaksa henti buat kuih kerana sukar dapatkan bekalan gula

Gambar dari kiri: Shahrizal, Abdul Ghani dan Mohd Kholib.
Gambar dari kiri: Shahrizal, Abdul Ghani dan Mohd Kholib.
A
A
A

ALOR SETAR - Pengusaha makanan dan minuman di sekitar daerah ini mendakwa masih berdepan kesukaran mendapatkan gula di pasaran.

Pengusaha kuih-muih, Shahrizal Abdul Aziz, 55, berkata, dia meletakkan kuih di beberapa gerai sekitar kawasan ini setiap pagi sebelum ini, namun terpaksa berhenti membuat kuih-muih disebabkan sukar mendapat bekalan gula dalam kuantiti banyak.

Shahrizal berkata, dia perlu menggunakan gula dalam kuantiti banyak setiap hari untuk membuat aneka kuih seperti tepung talam dan pulut sekaya.

"Dalam sehari, saya memerlukan lapan hingga 12 peket gula satu kilogram (kg) setiap hari, namun sekarang hendak dapat dua hingga tiga peket gula sekali pun payah.

"Bayangkan, saya terpaksa ke beberapa kedai setiap hari semata-mata untuk mendapatkan bekalan gula, itu pun ada kedai tiada bekalan dan sekiranya ada sekalipun, bekalan dihadkan," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Medan Selera Taman Wira Mergong di sini pada Khamis.

Menurut Shahrizal, dia berasa penat kerana berdepan situasi sama setiap hari apabila terpaksa menghabiskan masa dan tenaga semata-mata mencari bekalan gula sahaja.

Disebabkan itu, Shahrizal berkata, dia mengambil keputusan berehat dan berhenti membuat kuih-muih buat sementara waktu disebabkan masalah kekurangan bekalan gula itu.

"Ada pihak kata bekalan gula sudah pulih, namun saya tertanya-tanya mengapa cari di beberapa kedai dan pasar raya pun, gula masih tidak ada," katanya.

Bagi seorang pelanggan, Abdul Ghani Mustafa, 71, dia juga terpaksa ke beberapa kedai runcit sekitar Alor Setar hanya untuk mendapatkan bekalan gula.

"Selepas ke kedai runcit yang ketiga, barulah saya mendapat bekalan dengan pembelian dihadkan kepada dua peket sahaja," katanya.

Abdul Ghani berkata, dia sendiri berdepan kesukaran untuk mendapatkan bekalan, apatah lagi penjaja dan peniaga kecil yang memerlukan bekalan gula dalam kuantiti banyak.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Cawangan Kota Setar, Mohd Kholib Hamid berkata, beliau menerima beberapa aduan daripada penjaja dan peniaga kecil yang terkesan dengan masalah kekurangan bekalan gula.

"Ada yang mengadu terpaksa berhenti buat kuih-muih sebab memerlukan jumlah dalam kuantiti banyak. Ada pula mengadu terpaksa mencari di banyak kedai.

"Sebagai contohnya, peniaga minuman memerlukan lima peket gula sehari, namun kadang-kala hanya dapat satu peket sahaja selepas mencari di beberapa kedai," katanya.

Mohd Kholib berkata, bekalan gula dikatakan ada namun kebanyakan kedai runcit mengehadkan pembelian hingga memberi kesan kepada penjaja dan peniaga kecil seperti mereka.

Sehubungan itu, katanya, beliau menggesa pihak berkenaan untuk mengambil tindakan sewajarnya dan menyelesaikan masalah kekurangan bekalan gula dengan kadar segera.