Joki tidak mengaku rogol gadis dalam kereta

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang joki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas pertuduhan merogol seorang gadis berusia 18 tahun dalam kereta dua minggu lalu.

B Satia, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Izralizam Sanusi.

Mengikut pertuduhan, pemuda itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan dalam kereta jenis Honda City di kawasan pusat hiburan, Jalan Tun Razak, Maluri di sini, pada jam 5.20 pagi, 13 Mei lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat, jika disabitkan kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Roslizi Sulaiman mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tidak boleh mendekati mangsa.

“Berdasarkan keterangan, kejadian itu berlaku secara paksaan dan tertuduh serta mangsa tiada apa-apa hubungan,” katanya.

Bagaimanapun, peguam, Julie Faralisa Abd Jais yang mewakili tertuduh merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar rendah kerana perlu menanggung ibu serta adik yang masih bersekolah.

Mendengar perkara itu, Izralizam membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM9,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh memenuhi syarat tambahan iaitu melaporkan di balai polis setiap bulan dan tidak boleh mendekati mangsa sehingga kes ini selesai.

Sebutan kes semula ditetapkan 21 Jun depan.