Burung walet perlu ditakrif unggas

Salina ketika membahaskan RUU Perladangan Unggas (Pindaan) 2023 semasa sidang DUN Perak pada Rabu.
Salina ketika membahaskan RUU Perladangan Unggas (Pindaan) 2023 semasa sidang DUN Perak pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Burung walet perlu dimasukkan dalam tafsiran unggas di bawah Rang Undang-Undang (RUU) Perladangan Unggas (Pindaan) 2023 memandangkan industri ini juga berkembang dan perlu dikawal.

Salina Samsudin (BN-Behrang) berkata, buat masa ini tafsiran unggas sedia ada hanya termasuk ayam, itik, angsa, ayam belanda, ayam mutiara, puyuh, merpati, burung unta dan burung emu.

Menurutnya, isu tentang rumah burung walet yang dibangunkan dalam kawasan kebun getah, kebun kelapa sawit, deretan kedai baru dan lama serta di atas perumahan persendirian menyebabkan gangguan bunyi bising dan kekotoran yang mencemarkan ruang udara.

"Bantahan sering diajukan, permasalahan antaranya pengusaha menghalakan bunyi suara cakera padat yang bingit ke ke kawasan perumahan 24 jam sehingga mengganggu keselesaan penduduk taman perumahan.

"Kita sedia maklum teknik pemprosesan sarang burung walet di loji-loji pemprosesan bukanlah satu teknik yang kompleks.



"Namun langkah pengurusan dan kawalan risiko pencemaran dan kebersihan, adalah aktiviti yang penting dan kritikal," katanya ketika berbahas RUU Perladangan Unggas (Pindaan) 2023 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Rabu.

Salina berkata, langkah pengawalan risiko, mampu mengelakkan sumber pencemaran berpunca daripada persekitaran kerja, kelalaian manusia dan pekerja serta ketidaksesuaian alat serta teknik yang digunakan.

Menurutnya, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) merupakan badan yang bertanggungjawab terhadap segala pemantauan dan juga aduan awam dalam pengurusan industri burung walit tersebut.

Beliau berkata, JPV merupakan jabatan teknikal yang mempunyai kepakaran dalam memberikan panduan, ulasan serta nasihat dalam kawalan industri burung walet, manakala PBT bertanggungjawab melesenkan premis industri burung walit dan menguruskan aduan awam selaras peruntukan undang-undang sedia ada.

Oleh itu, Salina menjelaskan amat wajar burung walet dimasukkan dalam takrifan agar penguatkuasaan oleh JPV dan PBT selari dengan penternakan unggas yang lain.