Sabah cadang salur lebihan peruntukan Persekutuan ke akaun amanah

Hajiji
Hajiji
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah mencadangkan kepada kerajaan Persekutuan untuk menyalurkan lebihan peruntukan pembangunan bagi negeri itu ke dalam satu akaun amanah, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata, ini bagi memastikan peruntukan yang telah diumumkan kerajaan Persekutuan untuk kegunaan projek pembangunan di Sabah tidak luput sekiranya tidak dapat dibelanjakan pada tahun semasa.

"Kerajaan negeri akan memantau agar peruntukan dalam akaun amanah itu digunakan secara efisien mengikut maksud pemberian peruntukan tersebut,” katanya menjawab soalan lisan Datuk Darell Leiking (Warisan-Moyog) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini pada Selasa.

Darell ingin tahu apakah langkah diambil kerajaan Sabah dalam memastikan peruntukan daripada kerajaan Persekutuan dapat dibelanjakan dengan sepenuhnya memandangkan peruntukan dikembalikan pada tahun 2022 amat besar.

Hajiji berkata, penubuhan akaun amanah itu merupakan antara kaedah terbaik bagi memastikan Sabah tidak berdepan kerugian disebabkan peruntukan disalurkan tidak dapat digunakan sepenuhnya untuk pembangunan negeri.

"(Kaedah ini) seperti yang berlaku dengan pemberian khas sejak tahun lalu, disimpan dan dimasukkan ke dalam satu akaun amanah yang boleh digunakan walaupun sudah luput tahunan (semasa),” katanya.

Mengulas lanjut, Hajiji berkata, Sabah menerima RM5.709 bilion menerusi peruntukan pembangunan daripada kerajaan Persekutuan dan daripada jumlah itu, RM4.457 bilion telah dibelanjakan.

Beliau berkata, baki selebihnya sebanyak RM1.252 bilion pula tidak dapat dibelanjakan disebabkan beberapa isu pelaksanaan termasuk isu kontraktor, isu utiliti, isu tanah, isu pengurusan dan isu agensi laksana.

"Kerajaan negeri sentiasa mengambil langkah proaktif dalam menangani perkara itu. Antaranya, dengan memastikan kebolehlaksanaan sesuatu projek dipohon untuk pelaksanaan adalah tinggi pada tahun semasa dan tahun berikutnya,” jelasnya.

Katanya, Sabah juga akan memastikan semua permohonan projek kepada kerajaan Persekutuan mendapat perakuan terlebih dahulu seperti termaktub dalam Garis Panduan Penyediaan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 dan Permohonan Projek Pembangunan 2024-2025 Biayaan Persekutuan.

Hajiji berkata, ini untuk memastikan perancangan pembangunan adalah mengikut keperluan negeri dan pelaksanaan projek disiapkan dalam tempoh ditetapkan.

"Bagi memastikan pelaksanaan projek pembangunan Persekutuan dilaksanakan seperti dirancang, usaha pemantauan dijalankan secara berterusan oleh kerajaan negeri dengan kerjasama Pejabat Pembangunan Negeri Sabah.

"Antaranya melalui Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Sabah (MTPNg) yang berperanan dalam memantau dan membincangkan isu pelaksanaan projek pembangunan Persekutuan di Sabah,” katanya.

Beliau berkata, selain itu Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Negeri Sabah juga ditubuhkan bagi memastikan keputusan mesyuarat MTPNg dilaksanakan sepenuhnya di peringkat negeri.

Hajiji berkata, pemerkasaan Jabatan Kerja Raya Sabah dapat dilakukan melalui pengiktirafan jabatan itu sebagai Jabatan Teknik di bawah Arahan Perbendaharaan (AP 182) oleh kerajaan Persekutuan.

Penambahan pegawai teknikal baharu juga merupakan antara inisiatif penting dalam membantu Sabah merancang dan melaksanakan projek pembangunan negeri dengan lebih efisien, katanya. - Bernama