SKMM soal siasat dua individu hina nabi, kesucian Islam

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menyoal siasat dua individu yang mengguna laman Facebook mereka untuk menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda serta kesucian agama Islam di negara ini.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan dan Siasatan SKMM, Datuk Shafie Harun berkata, siasatan dijalankan susulan laporan orang ramai supaya tindakan diambil terhadap pihak berkenaan.

“Kedua-dua individu berkenaan telah dirakamkan percakapan mereka dalam satu serbuan serentak yang dikendalikan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Semporna, Sabah dan Kajang, Selangor.

“Kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh kedua-dua suspek menjurus kepada perbuatan memuat naik kandungan bersifat jelik dan menghina dengan niat untuk mengganggu dan menyakitkan hati orang lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam serbuan itu, dua telefon bimbit, tiga kad sim dan satu kad memori telah dirampas untuk siasatan lanjut.

Shafie berkata, dalam kes pertama membabitkan pengguna akaun Facebook bernama ‘Auni Zaara’, suspek memuat naik mesej yang menghina Nabi Muhammad dan isteri baginda.

Dalam kes kedua pula membabitkan pengguna akaun Facebook ‘Fadhillah Abdulhamid’, suspek memuat naik kandungan bersifat jelik terhadap agama Islam dan Nabi Muhammad dengan kata-kata yang cukup menghina.

Kes-kes berkenaan disiasat di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 dan jika disabit kesalahan, denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Shafie turut menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati menyalahguna media sosial untuk menyebarkan hantaran atau mesej berbaur penghinaan yang boleh mengundang kemarahan orang awam. - Bernama