Air tangki simpanan hanya bertahan sehingga Selasa

Premis perniagaan seperti dobi layan diri dan kedai makan sekitar Shah Alam masih dapat beroperasi seperti biasa kerana mempunyai tangki simpanan air di premis masing-masing. Gambar kecil: Khairul Akhbar
Premis perniagaan seperti dobi layan diri dan kedai makan sekitar Shah Alam masih dapat beroperasi seperti biasa kerana mempunyai tangki simpanan air di premis masing-masing. Gambar kecil: Khairul Akhbar
A
A
A

SHAH ALAM - Gangguan bekalan air tidak berjadual di Wilayah Klang, Shah Alam dan Kuala Selangor bermula pada Isnin masih tidak menjejaskan pengguna termasuk operasi beberapa premis perniagaan di sini.

Tinjauan Sinar Harian mendapati premis perniagaan seperti dobi layan diri dan kedai makan masih beroperasi seperti biasa kerana mempunyai tangki simpanan air di premis masing-masing.

Namun, difahamkan bekalan air tangki simpanan air tersebut hanya mampu untuk bertahan sehingga Selasa dan berkemungkinan tidak menjalankan perniagaan pada hari berikutnya.

Pembantu kedai dobi layan diri, Samsiah Mohd Nor, 46, berkata, operasi perniagaan pada Isnin berjalan seperti biasa kerana bekalan air tangki simpanan air di premis itu masih ada.

"Sehingga petang ini air masih ada dan jika air dalam tangki simpanan ini habis, kami perlu menghentikan operasi sehingga bekalan air pulih semula Rabu ini," katanya ketika ditemui pada Isnin.

Sementara pembantu sebuah kedai makan, Nurhaslinda Zakaria, 31, pula berkata, kebiasaannya premis perniagaannya tidak ditutup disebabkan masalah bekalan air dalam tempoh singkat.

"Premis kami mula beroperasi dari jam 10 pagi hingga 10 malam menyediakan hidangan makan tengah hari dan makan malam, setakat petang ini kami masih beroperasi seperti biasa," ujarnya.

Seorang pengguna, Khairul Akhbar Zakaria, 48, dari Seksyen 32, Shah Alam turut memaklumkan rumahnya masih mempunyai bekalan air namun bimbang ia tidak dapat bertahan dalam tempoh lebih tiga hari.

"Biasanya air tangki bertahan dalam tempoh sehari digunakan, susah jika bekalan air terputus dan kami berharap gangguan bekalan air ini tidak berpanjangan dan pulih semula pada Rabu ini," katanya.

Pada Ahad, media melaporkan bekalan air di 99 kawasan terjejas di Wilayah Klang, Shah Alam dan Kuala Selangor dijangka hanya akan pulih sepenuhnya pada jam 9 malam pada Rabu.

Ini susulan pelaksanaan kerja-kerja kecemasan pembaikan paip pecah di Jalan Bukit Cerakah, Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Air Selangor dalam satu kenyataan berkata, pelaksanaan kerja-kerja yang bermula jam 9 pagi pada Isnin itu bakal menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual di tiga wilayah berkenaan.

"Kerja-kerja pembaikan ini dijangka akan siap jam 3 pagi pada Selasa dan bekalan air akan mula disalurkan kepada para pengguna secara berperingkat-peringkat.

"Bekalan air dijangka akan pulih sepenuhnya pada jam 9 malam pada Rabu, apabila kerja pembaikan siap dan sistem agihan utama bekalan air distabilkan," katanya.