KPDNHEP Sabah kesan 743 kes pelbagai kesalahan

No Image Caption
A
A
A

KOTA KINABALU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah memeriksa 16,604 premis perniagaan di seluruh negeri ini sejak Januari sehingga semalam.

Pengarahnya Georgie Abas berkata, pemeriksaan sepanjang tempoh itu menghasilkan 743 kes membabitkan pelbagai kesalahan mengikut akta yang dikuatkuasakan kementerian dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM2.15 juta.

"Sebanyak 436 kes telah dikompaun dengan jumlah kutipan kompaun sebanyak RM138,300," katanya pada majlis sambutan Hari Penguatkuasa KPDNHEP peringkat negeri di sini, hari ini.

Beliau berkata sebanyak 17 kes telah dibawa ke mahkamah dengan denda berjumlah RM65,000.

Katanya dari segi aduan, sebanyak 474 aduan telah diterima sepanjang tempoh berkenaan dan kesemua aduan telah disiasat.

Pada majlis itu, seramai 124 peserta yang terdiri daripada anggota Seksyen Penguat kuasa Pejabat KPDNHEP Negeri Sabah terlibat di dalam acara perbarisan.

Georgie turut menyampaikan 9 anugerah kepada pegawai serta cawangan-cawangan antaranya Anugerah Pegawai Penyiasat Terbaik, Anugerah Pegawai Serbuan Terbaik, Anugerah Pegawai Pendakwa Terbaik dan Anugerah Risikan Terbaik. - Bernama

Artikel Berkaitan: