4 penyokong ditahan buat kecoh dalam stadium

Video insiden pertembungan di antara dua penyokong ketika Perak FC dan Selangor FC di Stadium Perak di sini pada malam Sabtu turut tular.
Video insiden pertembungan di antara dua penyokong ketika Perak FC dan Selangor FC di Stadium Perak di sini pada malam Sabtu turut tular.
A
A
A

IPOH - Empat individu ditahan susulan kekecohan yang berlaku ketika perlawanan Liga Super di antara Perak FC dengan Selangor FC di Stadium Perak pada malam Sabtu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, mereka yang ditahan merupakan warga tempatan berusia 18 hingga 26 tahun selepas dikenal pasti terlibat dalam insiden kekecohan terbabit.

Menurutnya, ujian air kencing yang dijalankan ke atas kesemua mereka mendapati salah seorang daripadanya positif dadah jenis ganja.

"Pihak polis mengesahkan bahawa kejadian tersebut berlaku pada 20 Mei 2023 lebih kurang jam 9.17 malam semasa perlawanan bola sepak Liga Super di antara Perak FC dan Selangor FC.

"Keadaan berjaya dikawal oleh pasukan polis yang bertugas di lokasi kejadian dan seterusnya membawa kepada tangkapan empat individu," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Yahaya berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan kesemua yang ditahan dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh untuk mendapatkan perintah reman.

Sementara itu, pihak polis meminta kerjasama orang ramai yang menyaksikan atau mempunyai sebarang maklumat sama ada video mahupun gambar berhubung kejadian terbabit agar tampil bagi membantu siasatan.

Katanya, mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, Asisten Superintendan Chua Sze Yan di talian 012-6195312 untuk membantu mengesan penyokong yang terlibat dalam kekecohan tersebut.

Perlawanan Liga Super di antara Perak FC dan Selangor FC pada Sabtu dicemari insiden pergaduhan membabitkan kedua-dua penyokong di dalam stadium.

Rakaman video mengenai insiden tersebut juga tular di media sosial menunjukkan sekumpulan penyokong tuan rumah menyerbu masuk ke arah tempat duduk pasukan pelawat sebelum sempat dileraikan pasukan keselamatan.

ARTIKEL BERKAITAN:Royal Rumble penyokong cemari aksi Perak, Selangor di Ipoh