Belia paling ramai terlibat salah guna dadah

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan semasa merasmikan Simposium Sains Penagihan Dadah Kebangsaan 2019 hari ini. - Foto Bernama
Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan semasa merasmikan Simposium Sains Penagihan Dadah Kebangsaan 2019 hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

BANGI - Seramai 85,575 orang belia yang berumur antara 19 hingga 39 tahun dikesan menjadi penagih dadah bagi tahun 2014 hingga 2018, kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, jumlah itu adalah daripada 116,206 orang penagih dadah yang dikesan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bagi tempoh lima tahun berkenaan.

“Golongan belia adalah golongan yang paling ramai terlibat penyalahgunaan dadah. Jika ia tidak dibendung, negara kita akan mengalami kerugian tenaga belia.

“Mereka (golongan belia) yang seharusnya produktif membangunkan negara, terpaksa menanggung pelbagai masalah sosial akibat penyalahgunaan dadah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Simposium Sains Penagihan Dadah Kebangsaan di Dewan Seri Akasia, Ibu Pejabat AADK, di sini.

Muhyiddin berkata, trend penyalahgunaan dadah di negara ini konsisten dengan trend dunia dan serantau.

“Daripada Januari hingga Disember lepas, dadah jenis methamphetamine seperti syabu dan pil kuda adalah jenis dadah yang paling banyak disalah guna iaitu sebanyak 61.9 peratus daripada keseluruhan dadah.

“Ia juga diikuti dadah jenis heroin sebanyak 23.3 peratus dan trend ini agak berbeza daripada tahun 2017 yang mana heroin lebih banyak digunakan berbanding methamphetamine,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muhyiddin berkata, dalam konteks ini, peranan keluarga amat penting mencegah golongan remaja daripada terlibat dengan gejala dadah.

Beliau berkata, banyak kajian menunjukkan bahawa pengawasan dan sikap mengambil peduli tentang aktiviti anak-anak serta anggota keluarga boleh mencegah mereka terjebak gejala berisiko.

Muhyiddin berkata, antara usaha memerangi dadah ialah membuat pengekalan kepulihan klien Orang Kena Pengawasan (OKP) di dalam komuniti.

“Berdasarkan pemantauan dan penilaian AADK, didapati kadar kepulihan bekas-bekas klien yang telah menjalani rawatan dan pemulihan dalam komuniti untuk tempoh dua tahun, adalah seramai 8,449 orang atau 55 peratus daripada 15,249 OKP yang dinilai.

“Ini melebihi sasaran 40 peratus yang telah ditetapkan dalam Petunjuk Prestasi Utama kementerian ini bagi tahun lepas,” katanya.

Muhyiddin berkata, untuk membantu bekas penagih dadah pulih sepenuhnya, stigma terhadap penagih dadah yang telah dirawat harus dikikis.

Beliau berkata, pada tahun lepas sahaja, seramai 4,654 orang klien dibebaskan dari pusat pemulihan.

“Untuk mengekalkan kepulihan dan membolehkan mereka diterima masyarakat, sokongan komuniti setempat amat penting dalam menerima mereka ini agar tidak mengulangi penagihan apabila merasakan diri mereka tersisih.

“Pencegahan penagihan berulang antara komponen rawatan dan pemulihan dadah yang penting. Statistik menunjukkan sejak tahun 2014 hingga Disember lepas, hanya 25 peratus kes dikesan merupakan penagih dadah berulang,” katanya.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim dan Ketua Pengarah AADK Datuk Seri Zulkifli Abdullah. - Bernama