Cuaca panas: Pendapatan nelayan darat turut terjejas

Fazil menunjukkan ikan laih yang sukar diperoleh berbanding ikan bersisik seperti lampam, kerai,tenggalan. (Gambar kecil: Hanafiah)
Fazil menunjukkan ikan laih yang sukar diperoleh berbanding ikan bersisik seperti lampam, kerai,tenggalan. (Gambar kecil: Hanafiah)
A
A
A

TEMERLOH - Fenomena cuaca panas yang melanda negara ketika ini turut menyukarkan nelayan darat di sekitar Sungai Pahang apabila pendapatan mereka juga terjejas.

Seorang nelayan darat, Fazil Osman, 30, mendakwa, keadaan panas yang dialami kini sedikit sebanyak menyukarkan mereka untuk turun ke sungai seperti biasa.

"Permintaan tinggi tapi nak dapatkan ikan sedikit susah, macam ikan laih contohnya agak payah dapat pada musim panas ini sebab terkepung tak macam selepas musim banjir.

"Tapi kalau ikan jenis bersisik seperti lampam, kerai, tenggalan mudah dapat sebab tak boleh bergerak jauh," katanya yang mula menjadi nelayan darat sejak lapan tahun lalu.

Fazil antara nelayan darat yang ditemui ketika menjual sendiri hasil tangkapan mereka di Pekan Sehari Temerloh dekat sini pada Ahad.

Seorang lagi nelayan, Raja Jalil Raja Soh, 56, turut mengakui situasi tersebut sekali gus menyukarkan mereka mencari pendapatan ditambah pula dengan situasi orang ramai kurang membeli selepas Aidilfitri baru-baru ini.

Raja Jalil bersama ikan temoleh yang ditangkap.
Raja Jalil bersama ikan temoleh yang ditangkap.

Bagaimanapun menurutnya, harga ikan sungai masih terkawal walaupun sukar diperoleh ketika ini.

"Macam harga ikan temoleh masih dijual dengan harga RM65 sekilogram dan ia mendapat permintaan tinggi pelanggan, selain itu ikan kerai, patin buah turut menjadi pilihan orang ramai," jelasnya.

Sementara itu, Hanafiah Manan, 42, pula memberitahu, keadaan air sungai yang surut akibat musim panas turut memberikan peluang buat mereka meraih ikan.

"Air surut, jadi senang tangkap, boleh guna jaring dalam cuaca begini, Ikan kerai memang mudah dapat," ujarnya.

Antara hasil tangkapan nelayan darat yang dijual di Pekan Sehari Temerloh
Antara hasil tangkapan nelayan darat yang dijual di Pekan Sehari Temerloh