Radio bervisual hala tuju baharu RTM

Gobind Singh Deo
Gobind Singh Deo
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelancaran radio bervisual oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) merupakan hala tuju baharu yang dilaksana bagi bergerak seiring dengan transformasi media, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Katanya, langkah itu seiring hasrat kerajaan memacu teknologi baharu dengan menjadi medium penyampaian maklumat utama yang tepat dan pantas menerusi siaran televisyen dan radio. “Dalam inisiatif ini, kita membawa siaran radio secara visual, apa yang berlaku di radio boleh dilihat secara langsung melalui televisyen.

“Ia merupakan perkara baru, bermakna mana-mana rakaman (tetamu khas) juga boleh dilakukan di stesen radio negeri dan tidak perlu datang ke studio di Kuala Lumpur (Angkasapuri),” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran mini pemerkasaan radio RTM menerusi siaran radio di televisyen menggunakan media sosial dan jalur lebar di Wisma Berita, Angkasapuri, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia Abdul Muis Shefii.

Gobind Singh berkata, radio bervisual itu juga akan memperkasa inisiatif supaya pemberita melaporkan secara langsung dari mana-mana program atau kejadian.

“Kita telah memulakan inisiatif ini beberapa bulan lepas dan baru sahaja dimuktamadkan sebulan lepas. Kerja-kerjanya masih berjalan terbuka untuk perbincangan bagi pembangunan seterusnya," katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan etika penyampaian pemberita kekal, di mana pemberita perlu menyampaikan laporan berita yang tepat dan telah disemak sebelum siaran.

Artikel Berkaitan:

“Dulu kita diberikan laporan untuk dibaca, tapi sekarang mereka melihat sendiri (laporan langsung) dan melaporkannya secara langsung. Itu merupakan perbezaan antara cara penyampaian lama dan akan datang,” katanya.

Beliau juga berkata inisiatif radio bervisual ini tidak melibatkan sebarang kos tambahan dan hanya mengguna pakai kemudahan sedia ada.

Radio bervisual ini telah bermula pada 1 April lepas dan bagi fasa awal sekarang, ia bersiaran di Selamat Pagi Malaysia (TV1). - Bernama