Amril Aiman sedia terajui Kafa

Amril Aiman Abd Aziz
Amril Aiman Abd Aziz
A
A
A

KOTA BHARU - Ahli perniagaan, Datuk Seri Amril Aiman Abd Aziz menawarkan diri untuk mengambil alih tampuk kepimpinan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) daripada presiden sekarang, Bibi Ramjani Ilias Khan.

Amril Aiman berkata, beliau serius mahu menerajui badan induk bola sepak negeri itu sekiranya Bibi Ramjani bersedia melepaskan jawatan berkenaan dalam masa terdekat.

Menurutnya, beliau memberi jaminan akan bertanggungjawab sepenuhnya menyelesaikan pelbagai kemelut yang melanda bola sepak Kelantan selepas proses transisi kuasa dilaksanakan dalam persatuan itu.

“Saya menyatakan hasrat secara terbuka bahawa saya dan pasukan saya bersedia mengambil alih pentadbiran Kafa sekiranya beliau (Bibi Ramjani) melepaskan jawatan secara rasmi.

“Sebenarnya saya pernah berjumpa Bibi Ramjani awal bulan ini dan dalam pertemuan itu, beliau meletakkan syarat saya perlu membayar balik duit RM5.3 juta. Duit itu miliknya dan abang iparnya yang digunakan untuk menguruskan Kafa,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Amril Aiman berkata, dia yang pernah menjadi pengurus skuad Piala Belia Kelantan musim 2017 kesediaannya menjadi presiden bukanlah semata-mata ingin jawatan tersebut sebaliknya demi memulihkan maruah bola sepak Kelantan.

“Kita kena tahu tiada sesiapa yang lebih besar daripada persatuan bola sepak itu sendiri. Hari ini Kafa dan TRW (The Red Warriors) mengalami kemerosotan ketara serta ketidaktentuan dalam pentadbiran mereka.

“Dalam sesebuah organisasi, apabila berlaku masalah atau tidak berdaya saing untuk teruskan pentadbiran maka pastinya jawatan nombor satu iaitu presiden sepatutnya perlu bertanggungjawab,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Bibi Ramjani seharusnya berundur secara terhormat selepas gagal memacu bola sepak Kelantan ke arah lebih baik selepas mendapat mandat daripada ahli gabungan.

“Namun pada hari ini, beliau sendiri bersama Kafa telah menyedari permasalahan yang berlaku dan mereka sepatutnya bertanggungjawab (kejatuhan bola sepak Kelantan).

“Apa pun, kita tidak boleh sangkal beliau juga telah berusaha menyelesaikan segala masalah yang terpalit ke atas KAFA dan jasa dia kita tidak boleh nafikan terhadap bola sepak Kelantan,” katanya.

Amril Aiman pernah dilantik sebagai penolong bendahari dalam barisan kepimpinan Kafa selepas Bibi Ramjani menang pada kongres pemilihan September 2017, namun hanya bertahan selama tiga bulan.