Empat perkara tentang Maharaja Jepun turun takhta

AKIHITO
AKIHITO
A
A
A

MAHARAJA AKIHITO, 85 tahun, bakal menjadi maharaja Jepun yang pertama turun takhta dalam 200 tahun hari ini.

Tidak seperti maharaja-maharaja sebelum baginda, mereka kekal di kedudukan tertinggi dalam hierarki pemerintahan Negara Matahari Terbit itu hingga ke akhir hayat, lapor Astro Awani.

Akihito bagaimanapun, bakal melepaskan gelaran maharaja kepada anaknya, Putera Mahkota Naruhito.

Ini fakta-fakta yang anda perlu tahu mengenai peristiwa ini:

Kenapa Akihito turun takhta?

Pada Ogos 2016, Akihito yang merujuk kepada umurnya yang meningkat dan kesihatannya yang semakin merosot, menyatakan keinginan untuk turun takhta sementara beliau masih sihat.

Sebagai simbol perlembagaan tanpa sebarang kuasa politik, beliau menyampaikan mesej itu kepada umum yang diterima orang ramai dengan segera dan kemudiannya diterima oleh kerajaan.

Namun, undang-undang imperial di Jepun tiada peruntukan bagi penurunan takhta bagi maharaja yang masih memerintah dan selalunya hanya membenarkan pewarisan selepas kematian.

Artikel Berkaitan:

Oleh hal yang demikian, kerajaan Jepun telah meluluskan satu undang-undang buat satu kali bagi membenarkan penurunan takhta Akihito.

Siapa yang bakal mengambil alih tempatnya?

Naruhito, yang bakal naik takhta pada Rabu, merupakan anak lelaki tertua Akihito daripada dua orang.

Seorang pemuzik yang gemar aktiviti mendaki, Naruhito, 59 tahun, pernah meluangkan masa 2 tahun untuk pengajian tinggi di Oxford.

Beliau pernah menulis tentang sistem pengangkutan di Sungai Thames pada abad ke-18 selepas melengkapkan pengajian sejarah di Universiti Gakushuin, sekolah bagi golongan bangsawan.

Isterinya, Masako, pula merupakan seorang bekas diplomat yang mendapat pendidikan di Harvard - kini sedang pulih daripada tekanan tinggi selepas melahirkan anak perempuan, Aiko, dan bukan anak lelaki seperti yang diharapkan.

Aiko, 17 tahun, dilarang daripada mewarisi takhta bawah undang-undang Jepun yang hanya membenarkan lelaki untuk mengangkat gelaran maharaja lalu memberi laluan kepada adik lelaki Naruhito, Fumihito.

Seterusnya dalam barisan adalah anak lelaki Fumihito, Hisahito, 12 tahun.

Di sebalik perdebatan mengenai kesaksamaan hak wanita dan lelaki dalam kemaharajaan Jepun, rata-rata rakyatnya bersedia untuk menerima wanita sebagai maharaja Negara Matahari Terbit itu.

Berdasarkan satu kaji selidik oleh Yomiuri Shimbun antara bulan Oktober dan November 2018, hampir dua pertiga responden ingin undang-undang membenarkan wanita sebagai pewaris takhta.

Apa prosedur untuk menurun takhta?

Akihito akan mengumumkan penurunan takhta dalam upacara istana pada Selasa petang, namun akan kekal sebagai maharaja sehingga tengah malam apabila era Heisei berakhir dan Naruhito akan mengambil alih tempatnya dengan era baharu - era Reiwa.

Pada Rabu pagi, Naruhito dalam upacara pertamanya sebagai maharaja akan menerima alat kebesaran diraja.

Selain pegawai kerajaan, hanya kerabat lelaki dewasa yang dibenarkan hadir ke upacara tersebut, suatu perkara yang dikritik orang ramai.

Apa akan jadi kepada Akihito selepas turun takhta?

Akihito akan merangkul gelaran baharu, Emperor Emeritus atau Maharaja Emeritus, namun akan dilepaskan daripada tugas-tugas rasmi.

Antaranya termasuk menandatangani dokumen, menerima pembesar asing, menghadiri acara kerajaan dan menjalankan upacara istana.

Malah, beliau tidak akan menghadiri upacara naik takhta anaknya sendiri.

Selepas turun takhta, Akihito dan isteri Michiko akan berpindah ke kediaman diraja buat sementara sebelum bertukar dengan kediaman Naruhito setelah beberapa pengubahsuaian dilengkapkan.