KJ tak puas hati prestasi PH

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar melahirkan rasa tidak berpuas hati terhadap pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) berdasarkan empat faktor.

Menurut beliau, empat faktor itu ialah manifesto yang tidak ditunaikan, keadaan ekonomi mengecewakan, harga barang tidak turun dan banyak bantuan kepada rakyat dipotong.

Menurutnya, rakyat dan orang luar mahu melihat hala tuju kerajaan baharu itu, namun sehingga kini menjelang setahun pemerintahan PH pada 9 Mei depan, masih tidak kelihatan perubahan positif dalam pentadbiran mereka.

“Kalau kita tengok secara objektif, satu dari segi pelaksanaan janji. Banyak janji tidak dapat ditunaikan kerajaan PH dan ini diterjemahkan dengan penolakan rakyat di peringkat Pilihan Raya Kecil (PRK).

“Kedua, dalam Kabinet Bayangan, saya jaga bahagian kewangan dan saya adalah Menteri Kewangan. Saya melihat kepada ekonomi sama ada ekonomi negara atau ekonomi rakyat, kedua-duanya sangat mengecewakan," katanya pada program Bicara Minda Bersama Ahli Parlimen Rembau anjuran Sinar Harian di sini, hari ini.

Beliau turut berkata, ekonomi rakyat adalah berdasarkan kos sara hidup serta harga barang.

"Kata dulu kalau mansuhkan GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan), harga barang akan turun tapi itu tidak berlaku.

"Kita tengok bantuan untuk nelayan, pekebun kecil, pesawah dan sebagainya banyak dipotong,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, pasaran saham, pelaburan dan nilai ringgit merudum atau berada dalam keadaan sangat teruk.

“Ini melambangkan bahawa tiada hala tuju dan PH masih lagi terlalu fokus kepada blame game, menyalahkan kerajaan lepas,” ujarnya.