Pesawat tengah sawah tarikan baharu pelancong ke Sekinchan

Suee Lim (kanan) bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (dua dari kanan) turut merakam gambar di Terminal Sekinchan pada bulan lalu.
Suee Lim (kanan) bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (dua dari kanan) turut merakam gambar di Terminal Sekinchan pada bulan lalu.
A
A
A

SEKINCHAN - Terminal Sekinchan yang menempatkan pesawat jenis Boeing 727 di tengah-tengah sawah di Parit 5 di sini bakal menjadi tarikan baharu kepada sektor pelancongan di Sekinchan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, terminal itu kini sesak dengan pengunjung untuk merakam gambar dan video kenangan terutama sepanjang Aidilfitri ini.

Sehingga kini, katanya, lebih 30,000 pengunjung telah singgah berhampiran terminal itu yang bakal dibangunkan sebagai Premium Outlet Cafe pada masa akan datang.

"Pada masa sekarang kerja-kerja pembangunan dan ubah suai sedang dijalankan dan ia dibangunkan pihak swasta yang terlibat dalam sektor pelancongan.

"Saya difahamkan, banyak perbelanjaan telah dilaburkan untuk pembangunan kafe ini," katanya ketika ditemui di Sekinchan pada Rabu.

Suee Lim berkata, Terminal Sekinchan mendapat promosi tersendiri apabila rata-rata pengunjung merakam gambar untuk dimuat naik di media sosial masing-masing.

"Malah Terminal Sekinchan ini juga turut dipromosi dalam drama yang ditayangkan di sebuah rancangan televisyen tempatan pada bulan ini," kata beliau.

Pada 16 April tahun lalu, tular di media sosial pesawat itu dibawa khas menggunakan jalan darat.

Mengikut rekod pesawat itu didaftarkan pada 18 Jun 1981 dan sudah berusia lebih 40 tahun.