Kereta nasional ketiga: Peringkat akhir pemilihan rakan strategik

Mohd Redzuan Md Yusof
Mohd Redzuan Md Yusof
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang di peringkat akhir pemilihan rakan strategik bagi projek kereta nasional ketiga.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, perkongsian itu yang akan ditandatangani tidak lama lagi, akan diumumkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya tidak dapat memaklumkan banyak mengenainya, jadi perlu tunggu dan lihat,” katanya kepada pemberita di luar sesi dialog awam Rangka Kerja Keusahawanan Nasional di sini, hari ini.

Beliau menekankan bahawa projek kereta nasional ketiga itu akan dipacu sektor swasta dan tidak akan menggunakan dana kerajaan.

Kementerian Pembangunan Usahawa akan berperanan membantu projek itu memperoleh sokongan yang diperlukan agar ia mencapai kemajuan serta kejayaan, katanya.

“Kita tidak mahu berlaku keadaan kerajaan perlu menjamin mereka apabila berlaku kesukaran,” katanya.

Mohd Redzuan berkata setakat ini, 145 vendor tempatan menunjukkan minat terhadap projek ini yang akan membangunkan ‘Extended-Range Vehicles’ (ERV).

Beliau berkata Malaysia mempunyai kepakaran dalam pembangunan kereta selain kecanggihan teknologi, malah sektor automotif kini lebih terbuka.

Artikel Berkaitan:

“Kita kini berada dalam era dengan semua pihak boleh membangunkan kereta, contohnya seperti Dyson. Kita berada di landasan yang betul dan projek ini bukan untuk mengambil alih kedudukan Proton. Ia bertujuan mempertingkat lagi keupayaan kita,” katanya.

Sementara itu, maklum balas mengenai langkah memperkukuh keusahawanan dalam kalangan rakyat Malaysia sedang dikumpulkan dan ia akan digunakan untuk membangunkan Dasar Keusahawanan Negara yang akan dilancarkan pada suku ketiga tahun ini. - Bernama