511 projek dengan kos RM29.5 bilion diluluskan di Pahang

Wan Rosdy (dua dari kiri) dan Rafizi (dua dari kanan) pada Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal RMK-12 Kementerian Ekonomi Bersama Kerajaan Negeri Pahang di sini pada Selasa.
Wan Rosdy (dua dari kiri) dan Rafizi (dua dari kanan) pada Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal RMK-12 Kementerian Ekonomi Bersama Kerajaan Negeri Pahang di sini pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 511 projek dengan kos keseluruhan RM29.5 bilion diluluskan untuk Pahang melalui Rolling Plan Ketiga Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, senarai projek pembangunan yang diluluskan kerajaan terutama Kementerian Ekonomi itu meliputi 367 projek sambungan (RM27.3) bilion dan 144 projek baharu (RM2.2 bilion).

Menurutnya, peruntukan yang diluluskan bagi tahun 2023 sebanyak RM2.836 bilion melibatkan RM2.6 bilion untuk projek sambungan dan RM138.8 juta bagi projek baharu.

"Negeri Pahang merupakan negeri yang paling besar di Semenanjung dengan keseluruhan keluasannya 35,965 kilometer persegi dan bersempadan dengan enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Perak, Selangor, Johor dan Negeri Sembilan.

"Sebagai negeri yang paling besar sudah pasti peruntukan yang diperlukan juga besar bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan untuk rakyat negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) Kementerian Ekonomi Bersama Kerajaan Negeri Pahang di sini pada Selasa.

Hadir sama, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Wan Rosdy berkata, melalui sesi libat urus yang diadakan itu memberi peluang kepada Kementerian Ekonomi melihat situasi sebenar keadaan Pahang dan keperluan projek pembangunannya.

"Diharapkan lebih banyak projek-projek berimpak tinggi disalurkan ke negeri Pahang di bawah Rolling Plan Keempat RMK12 dan penyediaan unjuran peruntukan di bawah RMK13.

"Kerajaan Pahang akan memastikan semua projek pembangunan di bawah Rolling Plan Ketiga ini berjalan lancar dan teratur demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat negeri Pahang" katanya.