Calon muda dan cantik jadi 'giant killer' di Bangkok

Rukchanok Srinork calon muda Parti Move Foward.
Rukchanok Srinork calon muda Parti Move Foward.
A
A
A

BANGKOK - Calon muda Parti Move Foward (MFP), Rukchanok Srinork muncul 'Giant Killer' di kawasan pilihan raya daerah Bang Bon di Bangkok.

Bang Bon merupakan kubu kuat keluarga Yubamrung yang tidak asing lagi dalam dunia politik Thailand.

Rukchanok, 28, menewaskan Wan Yubamrung daripada Parti Pheu Thai dengan lebih 10,000 undi selepas 52 peratus undi Pilihan Raya Umum (PRU) dikira pada lewat malam Ahad.

Setakat jam 10.30 malam, muka baharu dalam dunia politik Thailand itu telah memperolehi 33,920 undi iaitu mewakili 44.3 peratus daripada semua undi yang dikeluarkan di Bang Bon berbanding Wan (19.694 undi) dan Wanitcha Muangsiri daripada Parti Demokrat dengan 6,473 undi.

Bapa Wan iaitu Chalerm telah beberapa kali mewakili Bang Bon sebagai ahli Parlimen.

Pada PRU sebelum ini, Chalerm memberi laluan kepada anaknya bertanding untuk kerusi Bang Bon dan menang.

Susulan kemenangan di Bang Bon, Rukchanok memuat naik status di Facebook berbunyi;" Angin perubahan bertiup. loceng di hati orang ramai mula berbunyi."

Difahamkan, Rukchanok adalah peniaga atas talian yang dikenali ramai dan aktivis politik yang pernah berkomunikasi dengan bekas Perdana Menteri dalam buangan, Thaksin Shinwatra di aplikasi Clubhouse.

Rakchanok muncul Giant Killer di Bang Bon.
Rakchanok muncul Giant Killer di Bang Bon.

Wanita berperwatakan menarik ini juga merupakan ahli panel tetap dalam sebuah forum politik.

Sepanjang kempen PRU kali ini, Rukchanok menunggang basikal di seluruh Bang Bon sambil membawa pembesar suara dalam usaha memancing undi.

Gaya kempen Rukchanok menjadi tular di media sosial, mendorong wartawan BBC untuk Asia Tenggara, Jonathan Head membuat liputan mengenai kempennya.

Rukchanok merupakan lulusan dari Universiti Thammasat dengan ijazah sains.

Beliau juga sering menyertai perhimpunan aktivis belia dan penyokong prodemokrasi di Bangkok yang menuntut peletakan jawatan Prayut Chan-o-cha selain mendesak undang-undang hina monarki di Thailand dibatal.

Rakchanok (dua kanan) menyantuni orang ramai semasa berkempen dengan menunggang basikal di Bang Bon.
Rakchanok (dua kanan) menyantuni orang ramai semasa berkempen dengan menunggang basikal di Bang Bon.

Thailand memiliki beberapa undang-undang 'lese majeste' paling ketat di dunia dengan hukuman sehingga 15 tahun bagi setiap penghinaan ke atas institusi diraja negara itu.

Ratusan individu ditangkap atau ada dipenjarakan selama 43 tahun menerusi peraturan di bawah Perkara 112 Kanun Jenayah. - Agensi