Teknik 'spin serve Rindshoj' dilarang sementara - BWF

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

TEKNIK 'spin serve' (servis putaran bulu tangkis) yang diperkenalkan oleh pemain beregu lelaki Denmark, Marcus Rindshoj, dilarang sementara di semua kejohanan diiktiraf Persekutuan Badminton Dunia (BWF) berkuat kuasa serta-merta sehingga 29 Mei ini.

Presiden BWF, Poul-Erik Hoyer berkata, larangan itu termasuk dalam Kejohanan Piala Sudirman 2023 di Suzhou, China bermula Ahad ini hingga 21 Mei serta Malaysia Masters di Arena Axiata, Kuala Lumpur dari 23 hingga 28 Mei depan yang menawarkan mata untuk kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024.

Katanya, badan induk dunia itu telah meluluskan keputusan bahawa pemain hanya boleh melepaskan bulu tangkis tanpa menambah putaran sebelum melakukan pukulan.

"BWF telah menerima maklum balas daripada komuniti badminton, termasuk Suruhanjaya Atlet BWF, bahawa servis itu boleh memberi kesan negatif kepada permainan. Ia juga diperhatikan secara dalaman bahawa 'spin serve' ini mempunyai banyak ciri yang serupa dengan 'servis Sidek', yang tidak dibenarkan.

"Jadi, panel pakar mengesyorkan untuk tidak membenarkan teknik ini sehingga rundingan lanjut dengan semua negara anggota badan dunia itu pada mesyuarat agung tahunan pada 27 Mei ini.

"BWF juga mahu mengelak senario di mana Piala Sudirman akan datang dan kejohanan antarabangsa lain, boleh menjadi platform untuk menguji 'spin serve' baharu dan akhirnya mengganggu pertandingan.

"BWF berasakan yang terbaik untuk tidak membenarkan 'spin serve' sehingga BWF bersidang semula pada 29 Mei untuk perbincangan lanjut," katanya dalam satu kenyataan.

'Spin serve' yang sukar dibalas oleh lawan pertama kali dilaporkan diamalkan Rindshoj pada perlawanan pusingan kedua Terbuka Poland 2023, pada Mac lalu.

'Spin serve' berdasarkan video yang dikongsikan di internet ialah teknik pemain memegang bulu tangkis dan menguisnya dengan jari hantu sebelum memukul dengan raket, yang menambah putaran dan menyukarkan lawan untuk membalas pukulan.