Tingkat kempen larangan merokok di premis makanan

Mohd Anuar (depan, lima kiri) bersama anggota penguat kuasa selepas pelancaran kempen larangan merokok fasa kedua.
Mohd Anuar (depan, lima kiri) bersama anggota penguat kuasa selepas pelancaran kempen larangan merokok fasa kedua.
A
A
A

KEMAMAN - Kempen larangan merokok di premis makanan diperhebatkan lagi bagi fasa kedua di daerah ini selepas kejayaan kempen peringkat fasa pertama yang diadakan sejak awal Januari lalu.

Pegawai Kesihatan Daerah Kemaman, Dr Mohd Anuar Abd Rahman berkata, berikutan itu kempen 'Educational Enforcement' Fasa II Larangan Merokok di Premis Makanan dilancarkan bagi memastikan semua premis makanan telah memasang papan tanda larangan merokok sepenuhnya.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan (KKM) telah mewartakan larangan itu bermula awal Januari tahun ini dan akan dikuatkuasa pada Julai depan.

"Selama tempoh enam bulan pertama tahun ini kempen penguatkuasaan secara pendidikan kesihatan akan dijalankan kepada orang ramai berkaitan larangan ini.

"Fasa pertama telah kami jalankan dengan sebanyak 618 premis makanan telah diperiksa berbanding jumlah premis yang disasarkan dalam daftar pendaftaran premis makanan (Fosim) dan dalam tempoh itu sebanyak 307 amaran bertulis dikeluarkan.

"Selepas fasa pertama yang telah dibuat bagi tempoh tiga bulan pertama juga didapati trend orang merokok didapati meningkat semula berdasarkan rekod aduan yang diterima," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis persaraan dan anugerah kecemerlangan serta pelancaran Kempen Kesihatan Awam (Inspektorat) di Restoran Nostimo's.

Beliau berkata, pihaknya akan mengambil tindakan lebih proaktif bagi fasa kedua dengan mempergiatkan kempen berkenaan secara besar-besaran dalam memberi pendidikan kesihatan sebelum penguatkuasaan dijalankan sepenuhnya pada Julai nanti.

"Pihak kami telah menubuhkan 24 pasukan bagi memantau lokasi-lokasi yang ditetapkan sebagai kawasan angkat kumpulan ini.

"Mereka akan memeriksa premis-premis yang belum ditampal papan tanda larangan merokok dan menjalankan penguatkuasaan secara pendidikan kesihatan kepada orang ramai yang masih merokok di kedai makan termasuk dalam jarak tiga meter dari kerusi meja terakhir di premis tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:


Pada majlis itu turut dilakukan pelancaran serentak bagi Kempen Nafas Baru Bermula Ramadan yang akan tiba bagi peringkat inspektorat dalam kalangan anggota penguat kuasa.

Berkaitan pelancaran kempen nafas baru itu, Mohd Anuar berharap orang ramai dan anggotanya dapat mengambil manfaat kelebihan berpuasa di bulan Ramadan sebagai memulakan azam untuk berhenti merokok.

Majlis itu yang dihadiri 80 kakitangan Pejabat Kesihatan Kemaman turut dimeriahkan dengan beberapa aktiviti sambutan lain antaranya meraikan majlis persaraan Ketua Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Wan Mohd Suhaimi Ahmad yang akan bersara dan merupakan anggota yang paling lama berkhidmat di Kemaman.

Turut diadakan sambutan hari lahir kakitangan, penyampaian sijil dan cenderahati penguatkuasa cemerlang bagi tempoh Januari hingga April, penyerahan sumbangan kutipan bagi kematian ahli keluarga kakitangan, anugerah premis gred A, anugerah penghargaan tokoh Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (Combi) dan anugerah penghargaan media.