Dian Sastrowardoyo kini bergelar pensyarah

Dian Sastro yang juga pelakon filem Ada Apa Dengan Cinta? kini bergelar pensyarah jemputan yang mengajar atau membimbing mahasiswa dua kali dalam satu semester di Universiti Indonesia. - Foto Facebook Dian Sastrowardoyo
Dian Sastro yang juga pelakon filem Ada Apa Dengan Cinta? kini bergelar pensyarah jemputan yang mengajar atau membimbing mahasiswa dua kali dalam satu semester di Universiti Indonesia. - Foto Facebook Dian Sastrowardoyo
A
A
A

BEBERAPA hari lalu, netizen Indonesia menjadi kecoh apabila seorang pengguna TikTok yang juga mahasiswa dari Universiti Indonesia, Fikri Ramadhani mempamerkan sesuatu yang sangat ‘bernilai’.

Melalui perkongsian tersebut, Fikri telah memuat naik momen dirinya sedang menanti giliran untuk bertemu dan berbincang tentang mata pelajaran yang diambil dengan seorang pensyarah.

Apa yang membuat netizen tidak keruan adalah apabila melihat pensyarah yang merupakan seorang wanita itu sebenarnya seorang aktres terkenal tanah air mereka, Dian Sastrowardoyo.

Dian Sastro adalah seorang aktres yang sangat terkenal selepas filem lakonannya, Ada Apa Dengan Cinta? menjadi fenomena lebih 15 tahun lalu.

Menerusi perkongsian tersebut, Dian dipercayai mengajar salah satu mata pelajaran berkaitan filem untuk mahasiswa yang mengambil jurusan diploma.

Dia dilihat sedang memberikan penerangan kepada Fikri di dalam ruang akademik.

Dian malah menjadi buah mulut kerana penampilannya yang jauh dari dunia glamor, sebaliknya dilihat memakai pakaian sederhana dilengkapkan dengan beg sandang belakang.

“Dari hanya menonton di filem, kini berada di depan mata,” ujar Fikri seperti dilaporkan Kompas.

Perkongsiannya itu kemudian menjadi hangat dalam kalangan netizen.

Ada yang meninggalkan komen berbunyi: “Pergi kuliah rasa macam meet and greet.”

Malah tidak kurang netizen yang mengaku baru tahu jika Dian merupakan pensyarah.

Menerusi Detik.com, Dian diketahui menjadi pensyarah jemputan yang mengajar atau membimbing mahasiswa dua kali dalam satu semester.

Dia yang juga pernah menjadi lulusan dari Universiti Indonesia sebelum melanjutkan pelajaran di pusat pengajian tinggi lain itu dipertanggungjawabkan mengajar tentang filem. - Gempak