Banci Ekonomi bakal jadi indikator kepada pembuat polisi

Program Sinar Live bertajuk “Pelaksanaan banci ekonomi 2023” bersama Timbalan Ketua Perangkawan (Ekonomi), Jabatan Perangkaan Malaysia, Datin Seri Rozita Talha (kanan) dan dihoskan oleh Haizir Othman yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Khamis. Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID.
Program Sinar Live bertajuk “Pelaksanaan banci ekonomi 2023” bersama Timbalan Ketua Perangkawan (Ekonomi), Jabatan Perangkaan Malaysia, Datin Seri Rozita Talha (kanan) dan dihoskan oleh Haizir Othman yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Khamis. Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID.
A
A
A

SHAH ALAM - Banci Ekonomi 2023 yang melibatkan 1.2 juta organisasi termasuk syarikat atau pertubuhan yang bukan berasaskan keuntungan indikator bagi pembuat polisi melihat keadaan ekonomi selepas pandemik Covid-19.

Timbalan Ketua Perangkawan (Ekonomi), Jabatan Perangkaan Malaysia, Datin Seri Rozita Talha berkata, bancian tersebut membantu agensi kerajaan mendapatkan data dan maklumat syarikat sebagai rujukan termasuk orang awam.

“Bancian ini bermula sejak 1 April dan akan berakhir pada 30 September supaya kita dapat maklumat yang menyeluruh termasuk profil demografi, alamat, hak milik dan saham syarikat.

“Antara sektor utama adalah pertanian, perlombongan dan pengkuarian, perkhidmatan dan sektor pembuatan serta pecahan sektor khusus yang akan dijadikan sebagai maklumat data,” ujarnya dalam Program Sinar Live bertajuk “Pelaksanaan banci ekonomi 2023”.

Tambah beliau, syarikat yang sudah terbiasa berurusan dengan jabatan tersebut tidak mempunyai masalah dalam mengisi setiap data.

Tambahnya, dengan kemudahan teknologi yang sedia ada akan memudahkan pelbagai pihak terutama organisasi atau syarikat mengisi maklumat.

Jelasnya, dengan pengumpulan data itu akan menjadi rujukan kepada para pelajar atau orang awam yang ingin mengetahui situasi perniagaan selepas pandemik lalu.

“Hasil bancian ini akan dijadikan sebagai asas kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk tahun 2022,” katanya.