Serah peranan gilap 'ubi muda' kepada FA

Syed Yazid
Syed Yazid
A
A
A

KEGAGALAN skuad bola sepak bawah 22 tahun (B-22) negara di Sukan SEA 2023 Kemboja menandakan satu tindakan drastik perlu dilakukan untuk memastikan bakat muda dapat dibentuk dengan sebaik mungkin.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Syed Yazid Syed Omar berkata, peranan persatuan bola sepak negeri (FA) dalam menggilap bakat muda perlu dikembalikan dan tidak seharusnya diserahkan 'bulat-bulat' kepada Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD).

"Saya fikir dah tiba masanya FA di seluruh negara diberi peranan lebih serius membuat program pembangunan sendiri, dengan dana kerajaan diberikan kepada FAM.

"Isunya FA memang ada membuat program pembangunan sekarang tapi bila ada pemain dapat tawaran ke AMD, pemain itu akan pergi dan FA tak dapat nak kembangkan bakat pemain itu kerana pergi ke AMD.

"Budaya itu tak sama dengan budaya di Eropah. Di luar negara, kelab-kelab atau FA yang banyak membuat program pembangunan sehingga pemain itu mencapai usia remaja sebelum ada kelab yang membeli pemain itu," katanya.

Perjuangan skuad B-22 negara di pentas Sukan SEA Kemboja berakhir di peringkat kumpulan selepas tewas dua perlawanan kepada Thailand dan Vietnam sekali gus gagal menepati sasaran untuk mara ke final.

Ia mengulangi keputusan sama yang dicatat pada edisi 2019 di Manila, Filipina manakala pada edisi 2021 di Vietnam, skuad B-22 negara mengakhiri saingan di kedudukan keempat.

Syed Yazid berkata, dana pembangunan dari kerajaan juga perlu disalurkan kepada FAM selaku badan induk untuk diedarkan kepada setiap FA di seluruh negara bagi menjalankan program pembangunan di negeri masing-masing.

"AMD adalah sebuah program yang bagus namun pemain yang terpilih memasuki akademi itu dilihat gagal membawa impak yang konsisten selepas keluar daripada pusat itu.

"Kualiti pemain di AMD agak mendatar dan itu terbukti apabila kita tersingkir awal di peringkat kumpulan pada Sukan SEA Kemboja kali ini," katanya.