Cuaca panas: Pengeluaran cendawan tiram terjejas

Saiful Amri menunjukkan cendawan tiram yang kering akibat cuaca panas ketika ini. (Gambar kecil: Permukaan cendawan tiram yang akan kering akibat musim panas.)
Saiful Amri menunjukkan cendawan tiram yang kering akibat cuaca panas ketika ini. (Gambar kecil: Permukaan cendawan tiram yang akan kering akibat musim panas.)
A
A
A

PONTIAN - Cuaca panas yang melanda negara ketika ini turut menjejaskan hasil pengeluaran cendawan tiram sekali gus memberi kesan kepada pendapatan pekebun.

Pengusaha Cendawan Saifulam Agro Farm, Noor Saiful Amri Suloh berkata, keadaan cuaca panas ketika ini turut mengakibatkan permukaan cendawan kering dan kualitinya merosot.

Jelasnya, dia yang kini memiliki empat rumah cendawan dengan anggaran 40,000 bongkah cendawan turut berdepan nasib sama.

"Sebelum ini, sekurang-kurangnya 20 kilogram (kg) cendawan tiram dapat dipetik setiap hari, namun kini ia merosot kepada 8 kg sejak sebulan lalu.

"Cendawan tiram perlu keadaan yang lembab untuk pertumbuhan bagaimanapun keadaan cuaca yang panas menyebabkan bongkah cendawan menjadi kering sekali gus cendawan tidak dapat mengeluarkan hasil," katanya ketika ditemui pada Rabu.

Noor Saiful mengakui cuaca panas kali ini memberi cabaran besar sepanjang 12 tahun mengusahakan tanaman terbabi di Kampung Parit Hassan Benut.

"Musim panas sejak awal April lalu pernah mencecah suhu 34 darjah celsius. Ini kali pertama, saya berdepan suhu panas sebegini, sebelum ini suhu paling tinggi sekitar 30 darjah celsius.

"Disebabkan hasil pengeluaran kurang, bekalan cendawan kepada pelanggan terutama pengusaha kedai makan juga terpaksa dicatu dengan harga jualan sekitar RM12 sekilogram," ujarnya.

Tambahnya lagi, bagi memastikan tanaman cendawan tiram dapat bertahan, dia perlu kerap menyiram sekitar kawasan tanaman untuk pastikan ia lembap dan anak cendawan baharu kekal tumbuh.

"Malah jangkaan saya dapat kutip hasil selepas hari raya juga meleset apabila musim panas melanda mengurangkan hampir separuh tuaian cendawan tiram.

"Saya anggarkan mengalami kerugian sekitar RM2,000. Namun, sebagai pekebun cabaran ini perlu saya hadapi dan tetap teruskan penanaman cendawan kerana ia merupakan sumber pendapatan utama," katanya.