Hasanuddin dilantik Yang Dipertua Yadim

Hasanuddin dilantik sebagai Yang Dipertua Yadim berkuat kuasa 3 Mei.
Hasanuddin dilantik sebagai Yang Dipertua Yadim berkuat kuasa 3 Mei.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus dilantik sebagai Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Yadim dalam kenyataan pada Selasa berkata, pelantikan atas persetujuan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu berkuat kuasa 3 Mei lepas.

"Datuk Hasanuddin berpengalaman luas dalam bidang pengurusan dan hal ehwal masyarakat, sesuai dengan gerak kerja Yadim yang akan melibatkan dakwah kepada orang ramai.

"Beliau juga sebelum ini aktif dalam aktiviti kemasyarakatan selain terlibat dengan badan badan bukan kerajaan," kata kenyataan itu.

Menurut Yadim, pada masa sama Profesor Madya Dr Adi Anuar Azmin @ Che Wan pula dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua untuk organisasi berkenaan dan lantikan tersebut juga berkuat kuasa 3 Mei lepas.

Jelas kenyataan itu lagi, Dr Adi Anuar merupakan pensyarah kanan di Universiti Malaysia Perlis yang bertugas di Fakulti Perniagaan dan Komunikasi.

"Sesuai dengan penglibatan beliau dalam bidang pendidikan, lantikan ini akan membantu Yadim dalam melahirkan daie muda dakwah di negara ini.

"Yadim percaya dengan pengalaman dan kepimpinan dua tokoh tersebut akan meningkatkan kemampuannya sebagai badan dakwah yang menyebar nilai-nilai murni Islam dengan Rahmah sesuai dengan aspirasi Malaysia sebagai sebuah negara Madani," jelas kenyataan itu.