Puisi-puisi kemenangan Aidilfitri

Selain lagu, suasana syahdu 1 Syawal sering memberi ilham kepada penyair untuk menghasilkan sajak-sajak yang menyentuh jiwa. - Gambar hiasan
Selain lagu, suasana syahdu 1 Syawal sering memberi ilham kepada penyair untuk menghasilkan sajak-sajak yang menyentuh jiwa. - Gambar hiasan
A
A
A

PADA 1 Syawal, agenda tahunan umat Islam ialah menyambut kedatangan Aidilfitri, hari kebesaran dan kegembiraan setelah berupaya menunaikan ibadah puasa sepanjang bulan Ramadan al-mubarak dengan mampu menepis gelodak hawa nafsu.

Kemenangan inilah yang dirayakan pada hari tersebut dengan penuh rasa keinsafan.

Kaum Muslim akan saling bermaaf-maafan pada pagi lebaran dan berpusu-pusu pula ke masjid serta surau menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Berkumandanglah segenap ceruk rantau lafaz takbir memuji-muji Ilahi.

Umat Islam bertakbir membesarkan nama ALLAH SWT kerana Dialah yang memberi petunjuk kepada kita sehingga dapat melaksanakan ibadah puasa selama sebulan. Inilah pengucapan syukur kepada-Nya.

Bagi penyair Islam, kekudusan bulan Syawal berjaya menggugah kotak fikir mereka. Pada waktu itulah garapan bait-bait sajak mendapat tempat di hati mereka.

Kepuitisan bahasa sajak adakala boleh mengusik jiwa pada hari raya ketika keseorangan di perantauan walaupun kesannya tidak sehebat lagu-lagu raya.

Lagu-lagu raya dapat dinikmati dengan melodi dan suara penyanyi, di samping menghayati lirik yang mampu memukau pendengar seperti lagu Musafir di Aidilfitri, dendangan S Jibeng yang menjadi lagu evergreen sehingga kini.

Penghasilan sajak sebaliknya lebih mementingkan daya ingatan, intelek dan penghayatan jitu tanpa menelurkan ciri glamor seperti lagu.

Sajak Aidilfitri lebih merupakan rakaman pengalaman, perasaan dan khayalan penyair.

Sajak Adi Badiozaman Tuah, Salam Aidilfitri dalam antologi Nafas Kemanusiaan merakamkan kehadiran Syawal yang syahdu di Miri, Sarawak.

Kedatangannya telah menggamit hati Adi untuk bermaaf-maafan dengan sanak saudara dan rakan taulan serta mengeratkan tali silaturahim.

Katanya;

Bersama azan di hujung menara,

Sayup dan syahdu,

Mengembang kepak Syawal,

Kutebarkan rimbunan doa maaf,

Kemesraan sezaman,

Dalam ucap selamat,

Setia jujur ikhlas budi.

Berbeza dengan penyair Cheng Poh Hock yang telah memeluk agama Islam, beliau menyifatkan kedatangan Syawal menawarkan keadaan terasing dalam masyarakat Islam yang baru digaulinya.

Perasaan berjauhan dengan ibu dan sahabat begitu dirasakan. Dalam antologi Nafas Kemanusiaan menerusi sajak Aidilfitri 1396, Poh Hock bersedih.

Syawal menghiasi dada pagimu, pagiku,

Aku jauh dari sahabat,

Juga berjauhan dengan seorang mama,

Seorang Min dan asing bagi kebudayaan lain,

Kumiliki situasi ini, kekasih,

Betapa seksanya, kutelan diri.

Meskipun bersedih tetapi sebagai seorang Muslim, Poh Hock tetap tabahkan diri dan memberi senyuman kepada mereka yang mengucapkan selamat hari raya kepadanya.

Tulis Poh Hock;

Aku masih senyum bila,

Manusia-manusiamu di daerah asing,

Mengucapkan padaku,

Selamat Hari Raya Aidilfitri!

Begitulah perasaan Poh Hock atau nama Islamnya, Muhamad Yusri Cheng.

Penyair dari Perlis itu ketika merayakan hari lebaran buat pertama kali setelah beliau menerima hidayah ALLAH, jauh menyimpang daripada apa yang dirasai Nawawee Mohammad, bersyukur pada setiap kali Syawal tiba, terakam dalam sajaknya, Aidilfitri siaran Utusan Zaman (5 Oktober 1975).

Kata Nawawee;

Setiap hilal Syawal,

Adalah kesekian kali,

Tafakur dan bersyukur,

Erti segantang fitrah,

Mengakhiri musafir suci,

Oleh Ramadan mubarak,

Rasa bersyukur Nawawee bertolak daripada kemampuannya menunaikan ibadah puasa sepanjang Ramadan.

Bayangkanlah ibadah yang menuntut seseorang itu berlapar dahaga dari waktu imsak sehingga berbuka (iftar) dengan disulami ibadah-ibadah lainnya merupakan satu kemenangan.

Leo A.W.S. penyair cerpuisi (cerpen puisi) melukiskan suasana lebaran dengan bergaya sekali lewat sajaknya, Aidilfitri dan Baju Melayu dalam Dewan Sastera, April 1994. Leo merakamkan begini;

Aku menziarahinya setiap kali berhari raya di kampung kelahiran,

Semacam mesti dia akan memakai baju Melayu berwarna kuning kulit langsat,Tetapi baju Melayunya itu kian lusuh dan luntur warnanya,

Selusuh luntur usianya, kain sarungnya sahaja selalu bertukar corak,

Dan kuziarahinya buat mengukuhkan tali silaturahim.

Aliran positifisme dalam sajak Leo A. W. S. tidak sama dengan sajak melankolik yang penulis titipkan dalam majalah Al-Islam (April 1993) berjudul Aidilfitri 1413 yang terakam begini:

Aidilfitri kau datang lagi tahun ini,

Amat perlahan menyimpuh teratak ibu,

Mengisi setiap sudut ruang kedukaan,Yang kehilangan serak suara tadarus ayahanda sepanjang Ramadan,

Yang kehilangan getar takbir tahmid ayahanda di pagi raya,

Dalam ucap kebesaran Tuhan,

Aku pasti ibu menitiskan air mata,

Mengenang ayahanda berpulang ke alam baqa,

Ibu, selepas subuh pagi raya ini,

Aku berziarah ke kubur nenda tetapi tidak ke makam ayahanda,

Aku tidak upaya ke Tanah Suci,

Ibu, jika kau terlalu sayu,

Aku pun teramat sendu,

Aidilfitri tahun ini bukan milik kita.

Acap kali hari raya disambut dengan duka nestapa. Kehibaan itu bersarang di dada lebih-lebih lagi jika orang yang kita sayangi telah pulang ke alam baqa.

Tema kesedihan dalam sajak Aidilfitri memang tidak lepas daripada garapan penyair kerana kebanyakan mereka pernah mengalami keadaan demikian.

Namun, sajak-sajak Aidilfitri turut memancarkan sikap positif penyair terhadap kemunculan 1 Syawal dengan memberi harapan baharu dan memperbaharui azam bagi menangani masalah yang melingkari kehidupan fana ini.

Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir batin, kata-kata puitis berusia berabad-abad ini dikira dapat menyimpulkan topik ini.

* M Zaki Arif ialah nama pena Dr Zabidin Haji Ismail. Beliau ialah penulis, penyunting, penerbit dan Presiden Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk).