Empat perenang para raih slot Paralimpik Paris 2024

Megat D Shahriman - Foto Bernama
Megat D Shahriman - Foto Bernama
A
A
A

EMPAT perenang para negara berjaya menempah tiket awal ke Sukan Paralimpik Paris 2024 yang dijadualkan berlangsung dari 28 Ogos hingga 8 September tahun depan.

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, mereka yang berjaya menempah slot ke acara sukan berprestij itu ialah Zy Kher Lee, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli, Brenda Anellia Larry dan Imaan Aiman.

"Kelayakan pada kali ini agak sengit, jadi ia akan menjadi taruhan yang sukar untuk atlet kita layak beraksi di Paralimpik Paris.

"Saya berharap atlet kita tidak menunggu sehingga minit-minit terakhir untuk mencapai had kelayakan," katanya selepas perasmian Manic Ride Studio di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Beliau berkata, persiapan MPM dan atlet ke Sukan Para ASEAN ke-12 (APG) di Kemboja dari 3 hingga 9 Jun ini berjalan lancar sejak enam bulan lepas serta yakin skuad negara dapat meraih lebih banyak pingat berbanding edisi lepas di Solo, Indonesia.

"Kita mempunyai masa depan yang cerah kerana memiliki pelapis baharu dan pembangunan bakat yang dapat dibanggakan. Saya percaya akan wujud bintang baharu yang bakal dicipta di APG bahkan di Sukan Paralimpik Paris 2024," katanya.

Megat D Shahriman juga berkata, Jawatankuasa Pengelola Tempatan Kemboja telah memberi jaminan bahawa 140 atlet paralimpik negara bakal ditempatkan di hotel yang sama sepanjang temasya dwitahunan itu berlangsung.

Kontinjen negara dijangka berlepas ke Phnom Penh bermula 28 Mei ini. - Bernama