Antimonarki mahu pertabalan Raja Charles III yang terakhir

Penunjuk perasaan antimonarki mengadakan tunjuk perasaan di London. - Agensi
Penunjuk perasaan antimonarki mengadakan tunjuk perasaan di London. - Agensi
A
A
A

LONDON - Menjelang pertabalan Raja Charles III pada Sabtu (hari ini), baginda dijadualkan melakukan perjalanan dengan kereta kuda bersalut emas melalui jalan raya dihiasi bendera Union Jack.

Di Trafalgar, berdiri megah sebuah patung gangsa Raja Charles I, raja abad ke-17 yang digulingkan Parlimen dan dihukum mati pada 1649.

Pada hari sama juga, lebih 1,500 penunjuk perasaan berpakaian kuning terang merancang untuk berkumpul dan melaungkan ‘Raja Charles III bukan raja kami’ semasa upacara perarakan diraja sedang berlangsung.

“Kami akan cuba mengekalkan suasana terang tetapi tujuan kami adalah sangat mustahil untuk diabaikan,” kata ketua eksekutif kumpulan tunjuk perasaan antimonarki, Graham Smith.

Semasa pertabalan itu, Smith berkata, ia adalah ‘sambutan institusi rasuah’ dan juga ibarat sambutan terhadap ‘lelaki yang mendapat kerja yang bukan miliknya’.

Sekian lama, kumpulan penunjuk perasaan berjuang untuk menamatkan era pemerintahan beraja Britain berusia 1,000 tahun.

Ratu Elizabeth II yang meninggal dunia pada September lalu, selepas 70 tahun menaiki takhta merupakan ratu yang paling dihormati kerana umurnya panjang dan rasa tanggungjawabnya.

Namun, Raja Charles III yang dikatakan menjadi punca pertelingkahan keluarga dan menjadi tajuk utama berita selama beberapa dekad tidak disenangi segelintir rakyat Britain.

Tinjauan oleh Pusat Penyelidikan Sosial Kebangsaan mendapati hanya 29 responden berpendapat bahawa monarki adalah ‘sangat penting’, undian paling rendah dalam tempoh 40 tahun dan penentang paling tinggi adalah dalam kalangan golongan muda.

“Saya berpendapat ia perlu diubah,” kata Smith yang mahu menggantikan raja dengan ketua negara yang dipilih.

Semasa pertabalan itu, jutaan orang di Britain akan menyaksikan Raja Charles III dimahkotakan di Westminster Abbey, manakala puluhan ribu lagi berkumpul di jalan raya dan kejiranan di seluruh negara akan mengadakan pesta semasa upacara sedang berlangsung. - Agensi.