TPM mohon isu tiket penerbangan murah sempena Kaamatan, Gawai

Ahmad Zahid (tengah) ketika menghadiri sambutan Hari Raya Aidilfitri Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah di Bangunan UMNO Sabah hari ini. Foto Bernama
Ahmad Zahid (tengah) ketika menghadiri sambutan Hari Raya Aidilfitri Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah di Bangunan UMNO Sabah hari ini. Foto Bernama
A
A
A
KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi prihatin dengan rungutan yang dihadapi rakyat Sabah dan Sarawak berkaitan isu tambang tiket penerbangan yang mahal pada musim perayaan.

Beliau memaklumkan telah memohon kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) agar perayaan Kaamatan dan Gawai diberi tambang murah kepada rakyat Sabah untuk pulang meraikan perayaan itu.

"Tentunya perayaan seperti ini mempunyai signifikan yang besar, kita lihat Perdana Menteri mengumumkan untuk jalan-jalan tol yang berbayar dipercumakan selama empat hari, ini memperlihatkan keprihatinan beliau kepada pengguna-pengguna lebuh raya di Semenanjung.

"Tetapi saya juga dengar rungutan rakyat Sabah dan Sarawak yang terpaksa pulang ke kampung halaman masing-masing dari Semenanjung kerana tambang kapal terbang begitu mahal.

"Oleh demikian, saya amat prihatin terhadap perkara ini dan saya telah memohon kepada jemaah menteri melalui Menteri Pengangkutan agar perayaan Hari Kaamatan dan Gawai kali ini berikanlah tambang murah kepada rakyat Sabah dan Sarawak untuk pulang ke kampung masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Badan Perhubungan UMNO Sabah di pekarangan UMNO Sabah di sini pada Khamis.

Katanya lagi, usaha itu adalah bagi memberi kemudahan dan peluang kepada rakyat dari kumpulan B40 dan M40 yang mempunyai kewangan yang terhad.

"Biarpun ada di kalangan rakan-rakan kita di kalangan M40 mungkin berkemampuan tetapi atas tanggungan keluarga baharu, baru berkahwin dan anak-anak kecil lagi, tentunya banyak perbelanjaan yang terpaksa dikeluarkan.

"Berilah peluang kepada mereka untuk pulang ke kampung halaman di Sabah dan Sarawak dengan tambang-tambang murah yang diberikan," katanya.

Sebelum itu, dalam ucapannya beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut berjanji akan menambah peruntukan kepada Sabah pada tahun hadapan melalui di bawah kementeriannya.

"Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah memperuntukan sebanyak RM600 juta kepada negeri ini bagi pembinaan infrastrutur jalan, bekalan air dan elektrik luar bandar serta memperbaiki rumah daif.

"Tentunya jumlah RM600 juta ini masih kecil tetapi saya berjanji dengan rakyat Sabah untuk tahun 2024 atas keprihatinan rakyat Sabah, atas dokongan rakyat Sabah terhadap kerajaan perpaduan, kerajaan Madani saya akan memohon Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan untuk menambah peruntukan di Sabah ini melalui KKDW," katanya.