ECRL: Tangkas kancil berhadapan naga

Tun Dr Mahathir ketika menyampaikan ucapan di sidang kemuncak Inisiatif Satu Jalur dan Satu Laluan (OBOR) di Beijing, China baru-baru ini. - Foto: AFP
Tun Dr Mahathir ketika menyampaikan ucapan di sidang kemuncak Inisiatif Satu Jalur dan Satu Laluan (OBOR) di Beijing, China baru-baru ini. - Foto: AFP
A
A
A
PEMBACAAN di Facebook mengenai ulasan berhubung Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), saya amat tertarik dengan pandangan oleh Wan Fayshal Wan Ahmad Kamal.

Beliau ialah pegawai khas di Kementerian Belia dan Sukan. Hujah dan perdebatannya mengenai ERCL amat bersifat akademik dan intelektual. Beliau menyajikan suatu pandangan bernas, segar dan baharu yang kita patut fikirkan.

Antara hujah menarik beliau ialah konsep geopolitik sang kancil atau 'kancilian geopolitics' iaitu kecerdikan atau kepintaran Malaysia sebagai sebuah negara kecil (umpama sang kancil) dalam merundingi secara diplomasi dengan China bagi mendapat hak kepentingan dan mengekalkan kedaulatan supaya maruah kita tidak tergadai.

Memang benar apa yang dinyatakan Wan Fayshal, berita kejayaan rundingan sang kancil dalam berhadapan dengan sang naga mendapat liputan meluas media antarabangsa, antaranya Al Jazeera (12 April 2019), South China Morning Post (25 Mac 2019) dan Forbes (15 April 2019).

Namun rundingan sang kancil jangan sampai mencetuskan kemarahan sang naga. Sang naga tidak harus terasa dihinakan atau dimalukan, nanti buruk padahnya.

Martabat sang naga harus dijaga, rundingan bagaikan menarik rambut dalam tepung yang tidak terburai atau bersepah-sepah, tarikannya halus licik.

Kejayaan ini dapat menjadi kajian kes kepada negara sedang membangun lain. Sesuatu yang amat menarik untuk dilihat ialah Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyampaikan ucapan di sidang kemuncak Inisiatif Satu Jalur dan Satu Laluan (OBOR) di Beijing, China beberapa hari lalu.

Ini senada dengan kenyataan Wan Fayshal, bahawa Malaysia sekali lagi memberi tunjuk ajar dan contoh kepada negara-negara kecil di Afrika, Timur Tengah dan Asia Tengah untuk berfikir secara kritis dan kreatif bagaimana untuk mengurus diplomasi politik ekonomi OBOR yang bebas daripada jerat hutang, sekali gus membawa manfaat kepada kedua-dua buah negara.

Tambahnya dalam kenyataan di Facebook: “Sekarang model rundingan 'Kancilian' Tun Mahathir membuka ruangan baru untuk mereka fikirkan dalam berkawan dengan China secara adil. Malaysia megah di dunia sebagai Kuasa Pertengahan (Middle Power).”
Artikel Berkaitan:


Ini bermakna Dr Mahathir juga telah menunaikan janji dalam manifestonya untuk merundingkan semula kontrak projek ECRL dengan China. Walaupun telah disebutkan tadi ECRL adalah sebahagian daripada agenda geopolitik Beijing untuk menguasai dunia, ia juga adalah bahagian kecil daripada agenda geopolitik Malaysia yang berada dalam wilayah Laut China Selatan.

Sebahagian daripada agenda geopolitik Malaysia ialah berkembangnya apa yang dikenali sebagai ‘ego-politics’ iaitu politik pada tingkat psikologi.

Politik ego di sini bukanlah bermaksud bongkak atau sombong, tetapi dalam konteks geopolitik yang bermaksud politik maruah dan kedaulatan.

Oleh itu, apa yang dilakukan Malaysia ialah perjuangan ego dalam mentakrifkan diri dengan dunia luar khususnya dalam hubungan Malaysia dengan China.

Ya, ramai akan tertawa dengan kenyataan ini kerana Malaysia adalah sebuah negara kecil. Mungkin ramai akan berkata, ini hanyalah suatu retorik antarabangsa Malaysia, namun Putrajaya telah bersuara.

Adakah dengan rundingan semula yang dibuat Malaysia menjadi suatu`precedent’? Sejauh manakah negara-negara yang telah merundingi projek dengan China dapat merundingi semula syarat-syarat projek dan kontraknya jika didapati tidak adil? Adakah negara lain akan mengikuti jejak Malaysia pula?

Dapatkah Presiden Filipina, Rodirgo Duterte; Perdana Menteri Pakistan, Imran Ahmed Khan; Presiden Sri Lanka, Maithripala Sirisena atau pemimpin-pemimpin negara Afrika lain bersuara untuk merundingi semula projek prasarana mereka dengan China seperti apa yang dilakukan Dr Mahathir?

* Ismail Hashim Yahaya ialah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor