Noh nafi jadi calon PN tanding PRN di Selangor

Noh
Noh
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar menafikan laporan yang mengaitkan beliau sebagai calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

Noh berkata, terdapat kekeliruan timbul atas kenyataan beliau yang disalah tafsir beberapa portal berita.

"Ada portal telah menyiarkan bahawa saya akan menjadi calon PN dalam PRN akan datang.

"Saya ingin jelaskan bahawa untuk menjadi calon mana-mana parti, hanya pimpinan parti yang akan menentukan siapakah yang layak menjadi calon," katanya dalam satu video di Facebook beliau pada Selasa.

Beliau menjelaskan, sehingga kini, beliau juga masih belum menjadi ahli mana-mana parti politik dalam PN.

"Maka, adalah tidak betul kalau mengatakan saya akan menjadi calon PRN akan datang," ujar beliau.

Sebelum ini, sebuah portal berita (bukan Sinar Harian) mengesahkan Noh bertanding di Selangor di bawah tiket PN pada PRN Selangor.

Pada Januari lalu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan menggantung keahlian Noh selama enam tahun, namun bekas Ahli Parlimen Tanjung Karang itu meminta untuk dipecat.

Permintaan untuk dipecat dipersetujui Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.