Covid-19 terkawal di Kelantan

Dr Zaini
Dr Zaini
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengesahkan jangkitan Covid-19 di negeri ini berada dalam keadaan terkawal pada minggu epidemiologi 17.

Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, sebanyak 216 kes telah dilaporkan di mana tiga daerah mencatatkan kes tertinggi ialah Kota Bharu (124 kes), Tanah Merah (18 kes) dan Tumpat (17 kes).

"Kebanyakan kes iaitu 94.9 peratus adalah kategori satu dan dua.

"Bagi pemantauan kes di hospital, pada minggu epidemiologi 17 terdapat sedikit peningkatan kemasukan kes baharu ke hospital.

"Bagaimanapun tiada peningkatan kemasukan kes ke Unit Rawatan Rapi (ICU) serta belum ada kematian dicatatkan pada tahun ini," katanya kepada pemberita.

Menurut beliau, sepanjang tempoh itu tiada kluster baharu direkodkan.

Ujarnya, namun begitu, semua pihak tidak boleh leka dengan situasi tersebut dan JKNK juga mengambil kira kemungkinan berlaku peningkatan kes serta kluster terutama di institusi pendidikan selepas cuti panjang seperti perayaan Aidilfitri, Hari Pekerja dan Hari Wesak.

Beliau berharap pihak sekolah dapat mengambil langkah-langkah pencegahan berikut, seperti membuat saringan gejala, dan sebagainya.

Dalam perkembangan lain, Dr Zaini mengingatkan orang ramai supaya tidak mendedahkan diri dalam jangka masa panjang kepada cuaca panas yang sedang melanda negeri ketika ini.

"Pendedahan kepada cuaca panas dalam tempoh yang lama dan kurang minum air boleh memudaratkan kesihatan terutamanya kepada golongan yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, ibu hamil, warga emas, dan mereka yang mempunyai penyakit kronik.

"Gejala penyakit akibat cuaca panas melampau adalah seperti sakit kepala, keletihan, kurang tumpuan, pening, lemah-lemah otot atau kekejangan, rasa mual.

"Keadaan yang terlalu teruk boleh mengakibatkan dehidrasi, kekeliruan dan tidak sedarkan diri atau koma (strok haba)," ujarnya.