Cuepacs tuntut gaji minimum penjawat awam RM1,500

Seramai 10 orang pekerja daripada sektor awam telah menerima anugerah sempena Sambutan Hari Pekerja Cuepacs 2023 pada Isnin.
Seramai 10 orang pekerja daripada sektor awam telah menerima anugerah sempena Sambutan Hari Pekerja Cuepacs 2023 pada Isnin.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan melihat semula gaji minimum pekerja di sektor awam yang kini masih lagi rendah iaitu RM1,200 berbanding swasta.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, perkara itu merupakan salah satu daripada tiga harapan kongres dalam menangani masalah berkaitan pekerja awam.

Justeru, pihaknya berharap kerajaan bukan sahaja dapat melihat semula gaji minimum itu tetapi turut melaksanakannya kerana sebelum ini kerajaan telah menetapkan gaji minimum sektor swasta sebanyak RM1,500 sedangkan di peringkat kerajaan adalah RM1,200.

“Kami mengakui sebagaimana yang dikatakan oleh Perdana Menteri untuk melihat kepada kesesuaian tentang perkara-perkara yang dituntut oleh Cuepacs, tetapi kongres juga mahu melontarkan supaya kekangan dalam bentuk kos sara hidup boleh di atasi dengan kadar segera.

“Kerajaan perlu melaksanakan salah satu perkara sama ada menurunkan harga barang atau menaikkan gaji kami untuk meningkatkan keupayaan kuasa beli barangan pada hari ini,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Majlis Sambutan Hari Pekerja Cuepacs 2023 di Auditorium Seri Cempaka padfa Isnin.

Adnan berkata, harapan Cuepacs yang seterusnya adalah kerajaan tidak membuat potongan semula bagi kes-kes penjawat awam yang menduduki perumahan kuarters.

Jelas beliau, kini penjawat awam yang menduduki kediaman tersebut telah berhadapan dengan dua pemotongan elaun iaitu imbuhan tetap perumahan dan cola.

Ujarnya, kerajaan sepatutnya membuat pemotongan imbuhan tetap perumahan sahaja bagi mereka yang menduduki perumahan itu.

“Seterusnya, potongan cola perlu dimansuhkan dan elaun itu diberikan sepenuhnya kepada semua penjawat awam yang berada di kuarters.

“Jadi dengan ini kami yakin dan percaya kerajaan mampu menunaikan perkara itu kerana ia telah pun ada di dalam pembentangan belanjawan, slip gaji pekerja, dasar-dasar pembayaran yang telah dibuat sebelum ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Adnan memaklumkan bahawa pihaknya turut menerima aduan mengenai pekerja kontrak dan satu perbincangan mengenai suatu dasar untuk mereka (pekerja kontrak) telah dilakukan bersama Jabatan Perkhidmatan Awam serta ia telah diluluskan oleh kerajaan.

Tambahnya, pekerja terbabit boleh diberi jawatan tetap apabila mereka telah berkhidmat bersama kerajaan secara kontrak melebihi 15 tahun dan ke atas.

“Bagaimanapun, ada sebahagian daripada mereka yang telah berkhidmat selama 10 tahun tetapi tidak disambung kontrak.

“Jadi kami berharap kerajaan dapat meneruskan pelantikan mereka sebagai pekerja kontrak sehingga cukup tempoh 15 tahun perkhidmatan, supaya jawatan tetap boleh diberikan secara ‘one-off’ kepada golongan itu,” ujarnya.