Pecut 200 meter: Jonathan catat masa 20.92

Jonathan Nyepa
Jonathan Nyepa
A
A
A

ATLET pecut negara, Jonathan Nyepa, kini dalam prestasi memberangsangkan ke arah memecahkan rekod 200 meter (m) lelaki negara, apabila mencatatkan masa peribadi terbaik beliau 20,92 saat (s) di Memorial Torrin Lawrence di Athens, Georgia, Amerika Syarikat pada Jumaat.

Atlet 23 tahun dari Sarawak itu, hanya ketinggalan 0.15 saat di belakang catatan pemegang rekod 200m meter kebangsaan, Russel Alexander Nasir Taib, 20.77s yang dicatatkan di kejohanan Trek Klasik Queensland, di Brisbane, Australia, bulan lepas.

Jonathan yang kini dalam rangka latihan lapan bulan di Amerika Syarikat sejak Februari, menamatkan larian di belakang Elija Goodwin dari Georgia yang mencatatkan 20.59 saat, manakala Maurice Simson dari Georgia Tech di tempat ketiga (21.04s).

Sebelum ini masa terbaik Jonathan, 21.10s yang dilakukannya di Terbuka Malaysia, Mei tahun lepas.

Dengan catatan terkini, Jonathan berkongsi catatan masa ketiga terpantas dan sama dengan catatan masa bekas Olimpian Tan Sri Dr M. Jegathesan, 20.92s yang dicatatkan di Olimpik Mexico 1968, yang menjadi rekod kebangsaan selama lima dekad (49 tahun), sebelum dipecahkan Khairul Hafiz Jantan, dua tahun lepas.

Khairul Hafiz memecahkan rekod Jegathesan di Terbuka Malaysia 2017, kekal sebagai rekod 200m kedua terbaik Malaysia dengan 20.90s.- Bernama

Artikel Berkaitan: