Cuaca panas di Perak terkawal

Sivanesan (lima dari kanan) bersama tetamu jemputan ketika Majlis Rumah Terbuka Vasakhi Peringkat Negeri Perak di PSU Club House pada Ahad.
Sivanesan (lima dari kanan) bersama tetamu jemputan ketika Majlis Rumah Terbuka Vasakhi Peringkat Negeri Perak di PSU Club House pada Ahad.
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak menerusi Jabatan Kesihatan negeri (JKN) belum menerima sebarang kes berkaitan strok haba membabitkan kanak-kanak.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi negeri, A Sivanesan memaklumkan keadaan cuaca panas terkawal setakat ini.

Menurutnya, bagaimana JKN Perak sentiasa memantau dan mengemukakan laporan mengenai situasi berkenaan.

"Di Perak tidak ada (kes strok haba). Semuanya dalam kawalan, saya terima laporan daripada Jabatan Kesihatan setiap hari semua terkawal.

"Memang sebelah pagi cuaca panas tetapi apabila sampai petang hujan. Jerebu pun tak ada di Perak, jadi tak perlu risau," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Vasakhi Peringkat Negeri Perak di PSU Club House di sini pada Ahad.

Sementara itu, Sivanesan berkata, kes denggi pula mencatat peningkatan berbanding tempoh sama tahun lalu.

Katanya, susulan itu JKN menjalankan penguatkuasaan di kawasan titik panas yang dikenal pasti.

Kementerian Kesihatan pada Jumaat mengesahkan hanya satu kes kematian akibat strok haba di Kelantan membabitkan kanak-kanak berusia 11 tahun manakala kematian bayi berusia 19 bulan di negeri itu bukan disebabkan strok haba seperti dilaporkan media.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, berkata hasil siasatan awal pihak Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan mendapati penyebab kematian kanak-kanak berusia 11 tahun adalah heat stroke with severe dehydration.