Aiskrim Madinah kini di Serdang

Rosyani menunjukkan tiga bekas bersaiz kecil ais krim Madinah.
Rosyani menunjukkan tiga bekas bersaiz kecil ais krim Madinah.
A
A
A

SERDANG - Tidak lagi perlu terbang ke luar negara semata-mata mahu menikmati aiskrim Madinah yang begitu popular dalam kalangan jemaah umrah atau haji di Tanah Suci, kini pemanis mulut itu boleh dinikmati di Serdang, Selangor.

Usahawan aiskrim Madinah, Rosyani Mohamed Razalli, 43, berkata, sebagai pengemar aiskrim, dia mendapat inspirasi untuk menghasilkan sendiri pencuci mulut berkenaan selepas menunaikan umrah pada tahun 2016.

“Saya memilih nama Madinah selepas pulang buat umrah. Ketika itu saya makan aiskrim di sana dan rasanya sangat sedap.

“Apabila pulang semula ke Malaysia, saya asyik teringatkan keenakan aiskrim Madinah sebab rasanya lain daripada yang lain.

“Jadi saya mula terfikir kenapa tidak cuba hasilkan sendiri aiskrim Madinah dengan sesuaikan mengikut cita rasa tempatan,” katanya kepada Sinar Ahad di sini.

Ibu kepada sembilan anak itu berkata, dia mempelajari sendiri membuat aiskrim daripada seorang cef di Bangi, namun mengolah semula resipi yang diterima itu mengikut rasa tempatan.

Dalam pada itu, Rosyani berkata, aiskrim Madinah mempunyai kestimewaan tersendiri sebagaimana diakui orang ramai yang membeli ais krim berkenaan ketika mengerjakan umrah dan haji di Tanah Suci.

“Ramai pelanggan beritahu terubat rindu untuk makan aiskrim Madinah selepas mencuba aiskrim dihasilkan sendiri ini. Namun rasanya agak sedikit berbeza dengan asli sebab saya kurangkan gula dan tidak semanis seperti aiskrim Madinah di Tanah Suci.

“Bahan digunakan pula lebih kepada kandungan sihat, tidak ada perasa tiruan dan menggunakan gula perang sesuai untuk warga emas, kanak-kanak dan penghidap diabetes,” jelasnya.

Anak kelahiran Kuala Lumpur itu berkata, aiskrim Madinah mula mendapat tempat di pasaran dan kini menjadi pembekal produk ais krim di tujuh cawangan pasar raya Lesong Mart di sekitar Selangor.

Jelasnya, dia turut membekalkan produk aiskrim di Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor malah akan memasarkan produk berkenaan di koperasi di Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan koperasi sekolah sekitar Serdang.

Rosyani berkata, orang ramai juga boleh ‘walk in’ untuk membeli sendiri aiskrim Madinah yang mempunyai lima perisa iaitu coklat, vanila, vanila oreo, strawberi, jagung dan durian di kedainya di Pasar Awam Taman Sri Serdang.

“Paling istimewa adalah perisa durian kerana kita guna isi durian D24. Ini antara perisa aiskrim yang paling laris dalam kalangan pelanggan kerana rasanya segar dan berlemak,” ujarnya.