Menangis, bersyukur nyawa tak berakhir di tali gantung

Aidil (bukan nama sebenar) menjalani hukuman 14 tahun penjara dan 20 sebatan kerana kesalahan mengedar dadah.
Aidil (bukan nama sebenar) menjalani hukuman 14 tahun penjara dan 20 sebatan kerana kesalahan mengedar dadah.
A
A
A

KUANTAN - Seorang lelaki menangis kegembiraan selepas terlepas daripada hukuman gantung sampai mati atas kesalahan mengedar dadah lebih 10 tahun lalu.

Sebaliknya, anak kelahiran Felda Keratong, Rompin yang berusia 45 tahun itu hanya perlu menjalani hukuman penjara 14 tahun dan 20 sebatan selepas berjaya dalam rayuannya.

Dia yang mahu dikenali Aidil mengakui menyesal dengan kesalahan pernah dilakukan kerana terlalu kejarkan pendapatan lumayan hasil daripada penjualan dadah.

"Saya terlalu ikutkan perasaan mahu banyak duit, hingga lupa hukuman berat yang bakal menunggu selepas ditahan polis pada 2018.

"Saya boleh sahaja melarikan diri melalui pintu bahagian dapur rumah, namun tidak berbuat demikian kerana memikir nasib rakan yang berada dalam bilik. Saya akhirnya mengaku dadah jenis heroin seberat 249 gram dan 100 gram syabu yang disimpan dalam bilik milik saya.

"Selepas itu, saya dijatuhkan hukuman mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati, selepas rayuan dibuat saya hanya dikenakan hukuman 14 penjara dan 20 sebatan," katanya yang kini antara banduan baju biru (banduan peringkat khas).

Menceritakan kembali kisah hitam, Aidil berkata, selain menjual dadah di kawasan Felda Keratong, Rompin, permintaan di beberapa daerah di Johor turut diterimanya.

Dia yang bermula sebagai penagih sejak remaja memberitahu, aktiviti penjualan dadah dilakukan selepas dipelawa oleh individu untuk menjadi pengedar dengan menjanjikan pendapatan lumayan selain untuk kegunaan sendiri.

"Keluarga tak tahu saya seorang penagih dan pengedar, jadi mula usahakan ternakan lembu bersama arwah bapa dalam ladang kelapa sawit milik keluarga.

"Terdapat lebih 100 lembu yang ternak secara bebas dan projek ternak lembu bersama arwah bapa membuatkan keluarga dan masyarakat setempat tidak menduga saya antara pengedar dadah yang terkenal di kalangan penagih," ceritanya lagi.

Aidil merupakan anak keenam daripada 11 beradik memberitahu, selepas enam tahun berada di Penjara Penor keinsafan terhadap perbuatan lalu telah mula dirasai.

Menurutnya, hukuman ini adalah balasan yang diterima di atas dosa yang dilakukan sebelum ini

"Pada 2019, saya menerima hukuman 20 rotan dan akan bebas pada 2026. Saya bersyukur nyawa tidak berakhir di tali gantung.

"Aidilfitri ini kali keenam saya berada di sebalik tirai besi Penjara Penor yang menginsafkan saya, di sini saya berpeluang belajar agama selain pelbagai aktiviti bersama banduan lain.

"Kehilangan bapa tiga tahun lalu turut menjentik hati ini untuk menjadi insan berguna kepada keluarga dan masyarakat apabila dibebaskan nanti dan cita-cita saya untuk meneruskan projek ternak lembu yang mampu memberi pendapatan lumayan," katanya yang mula merancang untuk membina kehidupan baharu.