Langgar lampu merah, potong barisan kesalahan paling tinggi

Hanif menunjukkan unit dron digunakan JPJ sepanjang HRA.
Hanif menunjukkan unit dron digunakan JPJ sepanjang HRA.
A
A
A

SEREMBAN - Gagal mematuhi lampu isyarat merah dan memotong barisan merupakan kesalahan paling tinggi dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan sepanjang Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) yang bermula 18 hingga 27 April lepas.

Pengarahnya, Hanif Yusabra Yusof berkata, kesalahan itu dikesan Unit Penguatkuasaan Bermotosikal (UPB) yang dilengkapi Enforcement Action Camera (EAC), selain penggunaan dron.

"Sebanyak 529 kes kesalahan melanggar lampu isyarat merah dan 132 kes kesalahan memotong barisan telah dikesan yang mana ia lebih tinggi berbanding tahun lalu," katanya pada sidang akhbar di JPJ Negeri Sembilan pada Jumaat.

Menurutnya, secara keseluruhan, 12,243 kenderaan diperiksa dan 1,902 daripadanya diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.

Hanif menunjukkan EAC pada topi keledar anggota UPB.
Hanif menunjukkan EAC pada topi keledar anggota UPB.

Tambahnya, kesalahan paling tinggi iaitu pelesenan pemandu (1,119 kes) dan pelesenan kenderaan (1,146 kes).

"Kita juga mempertingkatkan penguatkuasaan ke atas penunggang motosikal dengan memeriksa 8,025 motosikal dan 1,528 saman dikeluarkan.

"Pegawai JPJ turut ditugaskan untuk menyamar sebagai penumpang yang melibatkan 32 bas yang dinaiki bagi meningkatkan Perception of Bening Caught (POBC) kepada pemandu dan sebanyak 92 saman telah dikeluarkan," katanya.

Selain itu katanya, antara kesalahan paling tinggi dilakukan iaitu memandu di lorong kanan berterusan (18 kes), memandu berterusan lebih 300 kilometer (13 kes) serta mengambil dan menurunkan penumpang di tempat tidak dibenarkan (10 kes).