Op Khas Pagar Laut tumpas 42 kes, rampas RM13 juta

Saifuddin Nasution - Foto fail Bernama
Saifuddin Nasution - Foto fail Bernama
A
A
A

GEORGETOWN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menumpaskan 12 kes berprofil tinggi daripada 42 kes tangkapan menerusi Op Khas Pagar Laut 2023 dengan nilai keseluruhan rampasan adalah sebanyak RM13 juta.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, data itu ialah kejayaan dua minggu pelaksanaan operasi berkenaan yang dijalankan di seluruh kawasan perairan negara iaitu bermula 9 hingga 25 April lepas.

"Op Khas Pagar Laut itu melibatkan 800 pegawai dan anggota APMM untuk mengawal sempadan negara membabitkan seluruh perairan negara di sepanjang 3,000 kilometer dan operasi tersebut masih berbaki lagi 48 jam.

"Daripada 12 tangkapan berprofil tinggi itu, masing-masing tiga kes tangkapan melibatkan cubaan menyeludup masuk rokok dan kes pencerobohan bot nelayan asing manakala masing-masing dua kes cubaan kemasukan pendatang tanpa izin serta kesalahan menyeludup barang kawalan iaitu petrol dan minyak masak.

"Satu kes cubaan mencuri dan satu kes cubaan rompakan berkumpulan iaitu APMM Johor berjaya menumpaskan kes rompakan bersenjata melibatkan empat warga tempatan di Pelantar Aurora Producer 1 di Tanjung Langsat, Johor pada 24 April lepas, mereka ditahan menurut Seksyen 395 serta Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana merompak secara berkumpulan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Saifuddin Nasution ditemui selepas sesi Lawatan Kerja dan Penyampaian Bingkisan Raya kepada pegawai dan anggota APMM yang bertugas sempena Op Pagar Laut di Kapal Maritim (KM) Burau di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Logistik), memangku tugas Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Hamid Mohd Amin.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, secara keseluruhan beliau sangat berpuas hati dengan kejayaan Op Khas Pagar Laut itu dan ia adalah usaha berterusan APMM dalam menjaga perairan negara demi keselamatan semua.

Katanya, APMM juga akan terus memperketat lagi kawalan dan mengoptimumkan pengoperasian di kawasan maritim negara terutamanya di sempadan Malaysia dan Thailand serta Indonesia.

"Melalui tindakan berterusan yang dijalankan oleh APMM itu akan dapat mengurangkan sekali gus menghentikan aktiviti jenayah seperti penyeludupan warga asing dan penyeludupan rokok di muara Tok Bali (Terengganu), itu antara insiden berprofil tinggi yang kita dapat kesan dan pencerobohan bot nelayan asing dan banyak lagi.

"Jumlah rampasan RM13 juta itu membabitkan penyeludupan rokok, barang kawalan seperti petrol dan minyak masak serta bot-bot nelayan warga asing yang menceroboh menangkap ikan di perairan negara. Daripada 42 kes tangkapan itu, 32 tangkapan membabitkan warga asing," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 45 aset diletakkan dalam keadaan siap siaga 24 jam sehari untuk menjalankan pemantauan termasuk pemantauan udara dengan menggunakan aset-aset udara APMM, malah pengesanan menggunakan radar turut dijalankan kerana dari situ APMM berjaya mendapatkan maklumat terhadap pergerakan yang mencurigakan.

"Bagi kes rompakan di Johor itu, selalunya paten jenayah macam ini melibatkan warga asing tapi untuk Op Khas Pagar Laut kali ini yang dikesan di Tanjung Langsat itu melibatkan warga tempatan dan susulan itu kami tingkatkan serta perketat lagi penguatkuasaan, APMM tidak akan leka dan mengabaikan tugas hakiki mereka terutama dalam mengesan serta mengawal apa-apa elemen pencerobohan yang boleh mengancam," katanya. - Bernama