Terpulang pada Rais buat laporan polis - Ketua Menteri

Ab Rauf
Ab Rauf
A
A
A

MELAKA - Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyerahkan sepenuhnya kepada Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Datuk Rais Yasin untuk mengambil tindakan bagi menepis dakwaan yang mengaitkan beliau dengan skandal rasuah seks.

Ab Rauf berkata, tiada sebarang paksaan dan arahan diberikan kepada Rais sama ada individu itu perlu membuat laporan polis atau sebaliknya.

Menurut beliau, apa yang dilalui wakil rakyat itu pada hari ini pernah juga dialami beliau ketika menjawat jawatan sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka suatu ketika dulu.

"Saya dah kena dulu sewaktu saya jadi Speaker, tuan-tuan jangan lupa agenda yang sama pelakon yang sama.

"Saya tak nak memikirkan benda ini sebab saya fikir untuk bekerja mempromosikan Melaka, memajukan negeri melaka, perkara-perkara bersifat peribadi saya rasa tak payah saya nak bincang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan program International Celebrity Visit Melaka di Banda Hilir di sini, pada Jumaat.

Mengulas lanjut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara itu berkata, isu skandal rasuah itu tidak mencemarkan mahupun mencalarkan imej kerajaan negeri kerana ia hanya diambil melalui medium media sosial untuk menjatuhkan imej seseorang individu atau pemimpin.

Ujar beliau, terlalu awal untuk mana-mana individu membuat provokasi tentang isu yang belum dibuktikan kesahihannya.

"Ini merupakan salah satu agenda mereka yang masih lagi tak 'move on' dalam politik Melaka yang sudah kita beralih ke arah politik baharu," katanya.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan Bekas Timbalan Pengerusi UMNO Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, sewajarnya Exco Kanan itu membuat laporan polis bagi membersihkan nama beliau dan UMNO.

Menurutnya, sekiranya benar individu itu tidak melakukan perbuatan terbabit, beliau perlu berani tampil untuk membuat laporan polis.