Henti pertikai projek tambak laut di Pulau Pinang

Projek Pulau Selatan Pulau Pinang (PSI).
Projek Pulau Selatan Pulau Pinang (PSI).
A
A
A

PERSATUAN Kebajikan Nelayan Bayan Lepas Pulau Pinang menggesa pihak pembangkang supaya tidak mempertikaikan keputusan yang dibuat oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) berhubung Projek Pulau Selatan Pulau Pinang (PSI).

Setiausahanya, Fajinah Jaafar berkata, ini kerana projek berkenaan sekali lagi mendapat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) selepas penelitian dilakukan oleh pegawai-pegawai agensi terlibat.

“Sesungguhnya, kebenaran sentiasa berpihak kepada mereka yang benar. Sudah bertahun-tahun kami menunggu projek ini berjalan walaupun ditempuhi pelbagai dugaan.

"Namun akhirnya dapat tidur dengan lena apabila mendengar pengumuman Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow semalam (Rabu).

“Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada Jabatan Alam Sekitar dan pihak kerajaan negeri yang serius dalam mempertimbangkan serta mementingkan kebajikan nelayan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, Fajinah turut menyangkal dakwaan Persatuan Nelayan Pulau Pinang (Pen Mutiara) menyatakan bahawa 6,000 ahli persatuan membantah projek berkenaan kerana sehingga hari ini, mereka tidak mampu menunjukkan sebarang bukti untuk menyokong dakwaan tersebut.

“Sebagai rakyat Pulau Pinang, kami berhak menyuarakan pendapat kami dan memilih yang terbaik untuk anak-anak dan cucu-cicit kerana percaya mereka bakal menerima manfaat dan peluang pekerjaan daripada projek ini,” jelasnya.