PTPTN catat kutipan deposit SSPN RM4.7 bilion

Timbalan Ketua Eksekutif PTPTN, Mastura Mohd Khalid di Majlis Pelancaran Karnival Sambutan Bulan Kesedaran Autisme Sedunia Bersama SSPN di Aeon Mall Bukit Raja hari ini. - Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Timbalan Ketua Eksekutif PTPTN, Mastura Mohd Khalid di Majlis Pelancaran Karnival Sambutan Bulan Kesedaran Autisme Sedunia Bersama SSPN di Aeon Mall Bukit Raja hari ini. - Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KLANG - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mencatat kutipan deposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sebanyak RM4.7 bilion sehingga 31 Mac lepas sejak produk SSPN diwujudkan pada 2004.

Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Operasi) PTPTN, Mastura Mohd Khalid, berkata kutipan itu melibatkan dua SSPN iaitu SSPN-i dan SSPN-i Plus dengan empat juta akaun SSPN dibuka.

"Pada 2018, PTPTN berjaya mencapai kutipan deposit SSPN berjumlah RM1.13 bilion yang merupakan jumlah penabungan tertinggi yang pernah dicapai oleh PTPTN sejak produk SSPN diwujudkan pada 2004.

“Peningkatan jumlah simpanan di dalam SSPN jelas menunjukkan bahawa semakin ramai rakyat Malaysia mula sedar tentang kepentingan membuat perancangan kewangan demi memastikan cita-cita melihat kejayaan anak-anak melanjutkan pengajian," katanya ketika berucap merasmikan Karnival Sambutan Bulan Kesedaran Autisme Sedunia Bersama SSPN di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan ibu bapa membuat persediaan lebih awal dengan menabung dalam SSPN bagi tujuan pendidikan anak-anak selain menikmati kadar dividen besar pada jangka masa panjang.

Beliau juga berkata pelbagai keistimewaan ditawarkan PTPTN bagi menggalakkan ibu bapa membuat simpanan untuk masa depan pelajaran anak-anak termasuk pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 melalui SSPN merangkumi SSPN-i dan SSPN-i Plus.

Ketika ditanya adakah pihak PTPTN rela bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan bagi mewajibkan ibu bapa membuka akaun SSPN bagi tujuan pendidikan anak mereka sejak mula didaftarkan di Tahun Satu, beliau berkata pihaknya akan meneliti perkara itu.- Bernama

Artikel Berkaitan: