'Jangan leka mandi di pantai'

Orang ramai mandi manda di pantai Teluk Kemang sempena cuti Aidilfitri.
Orang ramai mandi manda di pantai Teluk Kemang sempena cuti Aidilfitri.
A
A
A

PORT DICKSON - Meskipun berlaku tragedi lemas yang mengorbankan tiga beradik di Pantai Cahaya di sini baru-baru ini, namun ia tidak menjejaskan kehadiran pengunjung ke beberapa lokasi pantai di daerah ini.

Malah tinjauan Sinar Harian di Pantai Cahaya mendapati tiada pengunjung yang bermandi-manda melainkan mereka yang duduk bersantai di situ.

Kehadiran pengunjung di pantai utama di Port Dickson iaitu pantai Teluk Kemang juga kelihatan biasa saja.

Pengusaha bot pisang, Mohd Emizal Rosli, 41, berkata, kejadian lemas di pantai Port Dickson bukanlah perkara baharu dan biasanya setiap tahun akan ada saja tragedi berlaku.

"Bagi saya kes lemas ini bukannya disebabkan faktor ombak besar dan laut bergelora saja. Ada faktor lain.

"Kalau nak berlaku tragedi, di mana-mana pun boleh berlaku. Pentingnya setiap pengunjung perlu berhati-hati, jangan terlalu seronok ketika di pantai," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Mardiana
Mardiana

Sementara itu pengunjung, K Eswari, 46, menyifatkan tragedi yang meragut tiga nyawa itu sangat menyedihkan.

Katanya, sebagai ibu, insiden sebegitu paling dibimbangi berlaku setiap kali berkunjung ke pantai dan sebab itu anak-anaknya tidak dibenarkan berada terlalu jauh ke tengah laut.

"Tempat tak dibenarkan mandi, saya tidak akan pergi kerana kita tahu di situ berisiko.

"Memang kejadian lemas di pantai ini buatkan kita risau, tapi kita sebagai ibu bapa perlu beri perhatian sepenuhnya dan jangan leka," katanya.

K Eswari
K Eswari

Sementara itu, Mardiana Karuma, 46, berkata, setiap kali ke Port Dickson dia hanya membawa anak-anaknya mandi di pantai Teluk Kemang.

Ujar suri rumah itu, meskipun keadaan di situ agak ramai tetapi ia lebih selamat selain terdapat pelbagai kemudahan.

"Bukan saja anak-anak, tetapi orang dewasa pun boleh lemas. Pentingnya jangan leka walau sekejap kerana bahaya ada di mana-mana.

"Kalau cuaca buruk atau hujan elakkan ada di pantai kerana keadaan laut boleh berubah," katanya.

Pantai Teluk Kemang jadi pilihan pengunjung sempena cuti Aidilfitri.
Pantai Teluk Kemang jadi pilihan pengunjung sempena cuti Aidilfitri.