Keluarkan bayaran balik penerbangan daripada TTPM - MATTA

Kok Liang
Kok Liang
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembara Malaysia (MATTA) mendesak kerajaan untuk mengeluarkan bayaran balik berkaitan perjalanan penerbangan atau perkara tuntutan daripada bidang kuasa Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM)

Presidennya, Datuk Tan Kok Liang berkata, segala rungutan penerbangan perlu dirujuk kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan bukannya TTPM.

“Saya menyokong kenyataan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkenaan isu ini, yang mana ia perlu dilaporkan kepada MAVCOM.

“Segala hal berkaitan perkhidmatan penerbangan bukan dalam bidang kuasa tribunal seperti yang dinyatakan pada 1 March 2016,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada masa sama, Kok Liang menggesa TTPM menolak dakwaan berhubung tiket penerbangan itu termasuk dalam pakej pelancongan supaya ia selaras dengan kedudukan kementerian.

Tambah beliau, pengguna sepatutnya meneruskan pertuduhan terhadap syarikat penerbangan dan bukannya agen pelancongan kerana institusi itu gagal untuk memberi bayaran balik dalam menyediakan perkhidmatan berkaitan.

Menurutnya, pakej pelancongan yang disediakan oleh agen pelancongan diklasifikasikan sebagai perkhidmatan tertakluk kepada Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599) dan termasuk perkhidmatan penerbangan.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan sejak 2016, MAVCOM telah mentadbir sepenuhnya perkhidmatan dan aduan syarikat penerbangan.

“Ini telah menimbulkan kesukaran kepada pemain industri untuk menangani masalah itu, terutamanya perkara berkaitan syarikat penerbangan apabila pelanggan tidak berpuas hati, mereka terus memfailkan tuntutan di Tribunal Pengguna dengan hanya RM5 setiap satu.

“Bagaimana kami dapat mempertahankan diri sementara syarikat penerbangan tertakluk kepada peraturan yang berbeza?” soal beliau.

Dalam pada itu, Kok Liang mencadangkan agar TTPM menganalisis kes terdahulu dan yang belum selesai untuk memperlihatkan keadaan perniagaan pada masa kini.

Tambah beliau, pihaknya menjangkakan TTPM akan memindahkan isu pengguna dan agensi pelancongan yang melibatkan tiket penerbangan kepada MAVCOM dan memisahkan pakej itu daripada kategori pedagang.

Ujarnya lagi, permasalahan yang terjadi dalam industri itu menunjukkan Jadual Keempat Akta Perindustrian Pelancongan 1992 tidak mencukupi, relevan atau ketinggalan zaman.