Alah bisa tegal biasa - Shalin

Shalin bersama suami dan anak ketika menyambut Syawal tahun lalu. - Foto Shalin
Shalin bersama suami dan anak ketika menyambut Syawal tahun lalu. - Foto Shalin
A
A
A

ALAH bisa tegal biasa.

Demikian perasaan ratu boling negara, Datuk Shalin Zulkifli apabila 'mengorbankan diri' menyambut Syawal di perantauan dek kerana membawa nama negara pada kejohanan di pentas antarabangsa.

Shalin berkata, suasana tersebut tidak boleh dielakkan kerana pertandingan yang disertai di luar negara adalah mengikut kalendar Masihi bersamaan dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri buat umat Islam.

Tambahnya, skuad boling tidak boleh melepaskan peluang pertandingan itu biarpun berlangsung ketika Syawal kerana ia merupakan antara kejohanan besar boling iaitu Liga Profesional di Amerika Syarikat (AS).

“Banyak kali, sudah biasa (Syawal di perantauan), jadi tidak rasa sangat (sedih).

“Lagi pun saya bukan pergi seorang tetapi bersama rakan sepasukan. Jadi kami sudah rasa macam keluarga sendiri,” katanya ketika ditemui Sukan Sinar di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bagaimanapun katanya, kemeriahan sambutan Aidilfitri masih boleh dirasai apabila skuad boling berkunjung ke pejabat kedutaan di luar negara.

“Ketika di Holand, kami berkunjung ke kedutaan dan berjumpa dengan orang Malaysia di sana.

“Semasa ada kejohanan di AS empat tahun lepas kami bawa bahan dari Malaysia dan masak nasi lemak serta rendang,” ujar bekas atlet berusia 45 tahun itu.

Tambahnya, ketika masih bujang kerinduan kepada suasana perayaan di tanah air tidak dirasai, namun apabila sudah berkahwin dan ada anak, rasa sedih tidak boleh dielak.

Beliau dan suami yang juga bekas atlet boling negara, Azidi Ameran sudah sepakat apabila ada kejohanan di luar negara salah seorang berada di Malaysia menguruskan anak.

“Apabila sudah ada anak (Alya) baru terasa sedih lebih-lebih lagi kejohanan itu berlangsung pada bulan puasa dan berlarutan sehingga Syawal,” katanya yang bersara daripada arena boling dua tahun lepas.

Bagaimanapun tegas Shalin, ia merupakan pengorbanan besar atlet buat negara untuk mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

“Saya tidak fikir sangat (Syawal) sebab sudah biasa. Sudah menjadi tanggungjawab kita kalau anda tak boleh, susahlah nak jadi atlet negara.

“Bukan atlet sahaja, bertanding di bulan puasa dan menyambut Syawal di luar negara. Bidang pekerjaan lain seperti kru kapal terbang. Ini pengorbanan besar buat negara,” katanya yang memenangi pingat emas Sukan Asia di Busan (2002) dan Doha (2006).

Shalin yang bergelar atlet selama 28 tahun melakar kejayaan cemerlang apabila menjuarai Kejohanan Dunia 2003 di Malaysia, 2007 di Mexico dan 2017 di Las Vegas, AS.

Dia juga dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan sebanyak lima kali (1994, 1996, 1997, 2001 dan 2002).