Projek tambak laut, PSI terima kelulusan EIA

Pelan Projek PSI yang melibatkan tiga buah pulau.
Pelan Projek PSI yang melibatkan tiga buah pulau.
A
A
A

GEORGETOWN - Setelah menunggu beberapa tahun, Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi Projek Pulau Selatan Pulau Pinang (PSI) akhirnya telah diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Keua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, perkara itu dimaklumkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Pulau Pinang, Datuk Mohd Sayuthi Bakar menerusi sepucuk surat bertarikh 11 April lalu.

"Sukacita dimaklumkan bahawa laporan EIA bagi PSI telah diluluskan oleh JAS pusat di bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

"Kelulusan dimaklumkan menerusi sepucuk surat kepada SUK berkaitan adalah berasaskan 71 syarat ditetapkan termasuk keperluan meneruskan pelaksanaan Skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) dan Pelan Induk Pengimbangan Ekologi (PEOM) projek berkenaan," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri di Komtar pada Rabu.

Jelasnya, lanjutan daripada kelulusan laporan EIA tersebut, kerajaan negeri menerusi rakan pelaksana projek (PDP) PSI kini dalam proses memohon kelulusan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) daripada JAS Pulau Pinang.

"Kerja-kerja tambakan hanya akan dimulakan selepas kelulusan EMP diperoleh yang mana ia dijangka akan bermula pada suku ketiga tahun ini. Kerja akan bermula di Pulau A untuk membina Green Tech Park. Semua 71 syarat yang diberikan perlu dipatuhi.

Kon Yeow menunjukkan surat yang diberikan kepada SUK mengenai kelulusan Laporan EIA bagi PSI.
Kon Yeow menunjukkan surat yang diberikan kepada SUK mengenai kelulusan Laporan EIA bagi PSI.

"Kelulusan ini sudah dipaparkan dalam laman sesawang JAS dan bagi pihak kerajaan negeri, setelah memperoleh kelulusan wajib untuk memuat naik kelulusan serta laporan dalam laman sesawang Penang Infrastructure Corporation Sdn Bhd (PICSB).

"Itu pun salah satu syarat yang perlu kita patuhi dan kerajaan negeri akan mengambil langkah demi langkah untuk membuat pengumuman secara rasmi," katanya.

Kon Yeow menambah, kelulusan laporan EIA adalah untuk pembentukan Pulau A yang mana kerja tambakan akan bermula di lokasi tersebut.

"Kelulusan untuk ketiga-tiga pulau tetapi setelah EMP diperolehi, maka kerja-kerja tambakan cuma bermula di Pulau A sahaja," katanya.

Projek PSI yang sebelum ini dikenali sebagai Penang South Reclamation (PSR) adalah projek mega melibatkan tambakan bagi mewujudkan tiga pulau dengan keluasan 1,821 hektar di kawasan selatan Pulau Pinang.

Projek tersebut yang mula diperkenalkan pada 2015 merupakan modul pembiayaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion selepas SRS Consortium dilantik sebagai PDP untuk PTMP pada 14 Ogos 2015.

PSR ditentang oleh banyak pihak antaranya Persatuan Nelayan Pulau Pinang (Pen Mutiara) dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar.

Kon Yeow (dua dari kanan) menunjukkan pelan ketiga-tiga pulau dalam Projek PSI.
Kon Yeow (dua dari kanan) menunjukkan pelan ketiga-tiga pulau dalam Projek PSI.

Tahun lalu, Lembaga Rayuan JAS mengetepikan kelulusan Ketua Pengarah JAS yang memberi kelulusan Laporan EIA untuk PSI.

Keputusan Lembaga Rayuan JAS itu menyaksikan kelulusan EIA bagi projek berkenaan yang diperoleh pada 25 Jun 2019 adalah terbatal dan tidak lagi sah.

Susulan daripada itu, Kerajaan Pulau Pinang mengambil tindakan undang-undang dengan memfailkan semakan kehakiman ke atas keputusan Lembaga Rayuan JAS yang mengetepikan kelulusan Ketua Pengarah JAS terhadap Laporan EIA untuk Projek PSR.