'Bukti saya bukan YB gengster': Norhizam

Norhizam (kiri) ketika menerima surat pelantikan yang disampaikan Alif.
Norhizam (kiri) ketika menerima surat pelantikan yang disampaikan Alif.
A
A
A

MELAKA TENGAH - ADUN Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee menyifatkan pelantikan beliau sebagai Ahli Lembaga Penasihat Pertubuhan Pencegahan Jenayah Kebangsaan membuktikan dirinya bukan 'YB gengster.'

Norhizam yang juga merupakan Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri Asas Tani Melaka berkata, pelantikan itu mampu mengubah persepsi negatif orang ramai terhadap dirinya sehingga sering diserang dengan tohmahan oleh netizen.

Menurutnya, menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu, beliau mahu bersama membanteras masalah sosial dalam kalangan generasi muda yang turut akan menyumbang kepada kes jenayah di negara ini.

"Maka terjawab sudahlah seperti mana yang digembar-gemburkan persepsi rakyat mengatakan saya YB gengster, YB tidak sekolah, YB tiada adab, ternyata semua itu tidak benar.

"Dengan pelantikan itu menolak segala persepsi yang digembar-gemburkan oleh pihak yang tidak menyenangi dengan kerja yang saya lakukan setiap hari," katanya kepada Sinar Harian selepas menerima surat pelantikan itu yang disampaikan oleh presiden pertubuhan terbabit, Alif Tafid.

Norhizam berkata, beliau juga dalam masa terdekat ini akan bertemu dengan pengerusi pertubuhan tersebut iaitu bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Dalam perkembangan lain, Norhizam berkata, beliau telah menggesa syarikat mengorek pasir di Sungai Rembau untuk membuat permohonan baharu bagi kerja-kerja menempatkan pasir yang dikorek di tempat yang sesuai agar lebih sistematik.

Katanya, beliau memandang serius isu itu memandangkan cara meletakkan pasir yang tidak sepatutnya telah dilakukan syarikat terbabit hingga menjejaskan nelayan dari lebih lima jeti.

"Syarikat itu masih dibenarkan beroperasi cuma ada syarat-syarat yang ditambah dan mereka perlu ikut.

"Hasil yang dikorek tidak diletakkan di tempat yang diluluskan dan melalui permohonan baharu itu kita akan memantau agar ia tidak menjejaskan ekosistem dan paling penting nelayan," katanya.

Artikel Berkaitan: