Dulu guru bahasa Inggeris, kini barista

Johan Arif (kanan) bersama kakitangannya menunjukkan kopi yang dihasilkan dan menjadi menu mendapat sambutan para penggemar kopi. - Foto Bernama
Johan Arif (kanan) bersama kakitangannya menunjukkan kopi yang dihasilkan dan menjadi menu mendapat sambutan para penggemar kopi. - Foto Bernama
A
A
A

SUSULAN minat mendalam terhadap kopi, seorang anak muda sanggup meninggalkan kerjayanya sebagai guru Bahasa Inggeris demi meneruskan legasi bapanya membuka kedai kopi di daerah ini.

Johan Arif Sofian, 28, berkata dia minat dengan kopi sejak dari kecil lagi, dan ketika bapanya Sofian Fuad, 57, membuka kedai kopi secara kecil-kecilan pada 2014, dia sering ‘mengacau’ kerja bapanya.

Katanya, dia yang ketika itu masih belajar dalam jurusan Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL), tidak ada perancangan untuk menyambung perniagaan kedai kopi berkenaan.

"Namun ketika menunggu mendapat pekerjaan sebagai guru, saya mula kerja sambilan di kedai ayah yang menggunakan nama ‘Kelab Kopi’, yang ketika itu dibuka di Jalan Mohd Akil sebelum berpindah ke Jalan Abu Bakar.

"Walaupun telah mendapat pekerjaan sebagai seorang guru, minat mendalam telah mendorong saya untuk bekerja di Kelab Kopi ini, kemudiannya menguruskan perniagaan berkenaan,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Johan Arif berkata, kedai kopi yang tumbuh ‘bagaikan cendawan selepas hujan’ di daerah berkenaan sejak akhir-akhir ini disifatkan sebagai persaingan sihat.

Katanya, setiap kedai kopi yang dibuka mempunyai kelebihan tersendiri dengan pemiliknya cuba ‘mencipta’ kelainan masing-masing bagi menarik pelanggan.

"Saya juga yakin sesebuah kedai kopi itu ada kelebihannya tersendiri selain sudah pastinya mempunyai pelanggan tetap yang berulang kali datang, selain mewujudkan program kesetiaan pelanggan.

"Bagi Kelab Kopi ini, antara perkara dititik beratkan untuk menarik pelanggan adalah kualiti kopi disediakan, iaitu kami menggunakan kopi berkualiti jenis ‘Arabica Bean’ yang diimport dari Brazil, Colombia dan Indonesia.

"Selain itu, menerusi inovasi kami berikan nama yang unik sebagai identiti tersendiri seperti Hayven Latte, Butterscotch Latte, Gula Melaka Latte dan Local Coffee 434. Selain itu, pelbagai jenis makanan turut disediakan termasuk yang utama Nasi Salted Egg,” katanya.

Tambah Johan, memandangkan permintaan menggalakkan, dia bersama bapa dan adiknya, Adam Arif, 26, telah membuka satu cawangan di Jalan Rahmat serta merancang membuka satu lagi cawangan di Kluang.

Katanya, ‘Kelab Kopi’ yang kini digerakkan oleh 13 orang anak muda sering berbincang dan merancang serta mencipta satu menu baharu setahun sebagai daya tarikan. - Bernama